KUALA LUMPUR – Pelakon Zul Ariffin bakal menghidupkan legenda Raja Bersiong menerusi filem aksi seram thriller, Baling, yang kini menjalani penggambaran di Baling, Kedah.
Diarahkan Anwari Ashraf, filem terbitan Astro Shaw itu menjadi sebahagian daripada Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU), sekali gus memperluaskan dunia sinematik yang menghubungkan pelbagai kisah dan karakter tempatan.
Menerusi Baling, Zul membawakan watak Yong atau Raja Bersiong, lelaki yang hidup merentasi zaman selama beratus-ratus tahun dan terpaksa berdepan masa silamnya sendiri demi menebus kesilapan lalu.
Menggabungkan elemen legenda dan mitologi Melayu dengan aksi, suspen serta seram, filem itu mengetengahkan sisi berbeza Raja Bersiong yang masih menyimpan pelbagai rahsia.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sambutan terhadap Kudrat 1968 membuktikan penonton semakin teruja mengikuti perkembangan ASCU, termasuk menghubungkan petunjuk dan teori mengenai karakter serta jalan cerita yang dipaparkan.

Menurutnya, legenda Raja Bersiong mempunyai banyak sisi yang boleh diterokai, terutama menerusi kisah seorang lelaki yang dihantui masa silam selepas hidup berabad-abad lamanya.
Beliau turut menyifatkan gabungan Anwari dan Zul sebagai kekuatan utama Baling, berdasarkan kemampuan pengarah itu membina karakter serta menghasilkan penceritaan yang dekat dengan penonton.
Astro Shaw turut menghimpunkan tenaga kreatif berpengalaman bagi menjayakan filem berkenaan, termasuk Pengarah Fotografi Nicholas Chin, penyunting Irwan Ahmad dan pereka produksi Rabbani Sujak.
Dalam perkembangan berkaitan, Kudrat 1968 terus mengukuhkan kedudukannya dalam ASCU menerusi pendekatan ‘Satu Cerita Dua Format’ yang membawa kisah sama kepada penonton melalui siri premium dan filem.
Siri berkenaan diterajui Zulaikha Zakaria selaku pencipta, showrunner dan pengarah bagi kedua-dua format. Episod keempatnya dijadualkan ditayangkan pada 16 Oktober ini, sebelum kesinambungan ceritanya dibawa ke layar perak pada bulan sama.

Astro Shaw juga bakal memperkenalkan video ketiga ASCU yang menampilkan petunjuk baharu mengenai perkembangan dunia sinematik itu, termasuk High Council, Polis Evo dan Keluang Man.
Video berkenaan sekali lagi diarahkan Mshaffuan dan Sofyank, dengan sinematografi oleh Nicholas Chin, di bawah pimpinan Pengarah Kreatif ASCU, Alfie Palermo.
Sementara itu, siri premium Astro Originals, Mat Yam Polis Evo, yang dibintangi Amerul Affendi dan diarahkan Stephen Chua, kini dalam fasa pascaproduksi serta dijadual menemui penonton pada Disember ini.
Siri berkenaan mengisahkan Mat Yam yang cuba meninggalkan masa silamnya, namun kembali terheret dalam konspirasi jenayah dan misi berbahaya.

Turut dalam perancangan ialah Keluang Man: The Series yang dijangka menemui penonton pada 2027. Dicipta Anwari Ashraf dan Muqri Azlan, siri itu diarahkan Zahir Omar bersama pengarah bersama Syahmi Norsan, dengan tumpuan kepada perjalanan emosi serta psikologi Borhan.
Momentum ASCU turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama Kopi WONDA melalui platform kandungan digital Spill The Beans, yang membincangkan teori peminat, petunjuk dan pendedahan eksklusif berkaitan dunia sinematik berkenaan.
Penonton boleh mengikuti perkembangan terkini ASCU menerusi platform media sosial rasmi Astro Shaw, manakala episod terdahulu boleh ditonton melalui sooka dan On Demand.
