MEITU_20261104_181136872

JOHOR BAHRU – Apabila doktor mencadangkan amputasi sebagai jalan terakhir akibat jangkitan serius pada kaki, harapan untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa pastinya semakin tipis bagi seseorang pesakit.

Namun, bagi Pengarah Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam, Dr Raymond Rony Pav, keputusan membuang anggota badan perlu didahului penilaian klinikal menyeluruh bagi menentukan sama ada masih terdapat ruang untuk rawatan alternatif yang bersesuaian.

Berpengalaman dalam bidang ortopedik serta pembedahan plastik dan rekonstruktif, beliau menjadikan pengurusan luka kompleks, khususnya dalam kalangan pesakit diabetes, sebagai antara fokus utama perkhidmatan yang ditawarkan.

Menurutnya, luka diabetes memerlukan pengendalian khusus kerana proses penyembuhannya dipengaruhi pelbagai faktor termasuk jangkitan, kerosakan tisu, masalah peredaran darah dan tahap kawalan gula dalam darah.

Justeru, rawatan tidak boleh tertumpu kepada mencuci luka atau memberikan antibiotik sahaja, sebaliknya perlu disesuaikan dengan keadaan kesihatan setiap pesakit.

“Apabila pesakit datang dengan luka diabetes, kami perlu mengenal pasti punca sebenar masalah, tahap kerosakan tisu, kemungkinan jangkitan serta keadaan aliran darah.

“Sekiranya terdapat jangkitan, rawatan sewajarnya perlu diberikan termasuk antibiotik apabila diperlukan. Tisu yang sudah mati pula mungkin perlu dibuang melalui prosedur debridement bagi membantu proses penyembuhan.

“Keutamaan kami adalah mengekalkan sebanyak mungkin tisu dan anggota badan yang masih boleh diselamatkan, namun keselamatan pesakit tetap menjadi perkara paling utama,” katanya.

Beliau berkata, pesakit diabetes yang mengalami luka kronik perlu menjalani pemeriksaan dan pemantauan berkala kerana komplikasi boleh berlaku apabila paras gula tidak terkawal atau bekalan darah ke bahagian kaki tidak mencukupi.

Dalam keadaan tertentu, pemeriksaan vaskular diperlukan untuk menilai aliran darah sebelum pelan rawatan ditentukan.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat kes yang tidak dapat dielakkan daripada menjalani amputasi, terutama apabila jangkitan sudah merebak atau kerosakan tisu berada pada tahap yang boleh mengancam nyawa.

Pengalaman dua bidang perubatan jadi kelebihan

Penglibatan Dr Raymond dalam pengurusan luka kompleks bermula ketika beliau berkhidmat di hospital kerajaan selepas menamatkan pengajian perubatan.

Beliau menjalani latihan sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Sultan Ismail sebelum memperoleh pengalaman dalam bidang ortopedik yang mendedahkannya kepada pelbagai kes kecederaan tulang, tisu dan ligamen.

Beliau kemudian memperluaskan pengalaman menerusi bidang pembedahan plastik dan rekonstruktif di Hospital Sultanah Aminah.

Pendedahan dalam kedua-dua bidang berkenaan membantunya memahami dengan lebih mendalam kaedah pengendalian kecederaan, pembuangan tisu rosak serta teknik pembaikan dan pemulihan luka.

“Ketika bertugas di hospital, saya berpeluang mengendalikan pelbagai kes yang memerlukan kemahiran serta ketelitian.

“Daripada pengalaman itu, saya mula memberikan perhatian kepada pesakit yang mengalami luka sukar sembuh, khususnya pesakit diabetes yang berisiko mengalami komplikasi sehingga kehilangan anggota badan,” katanya.

Pengalaman tersebut mendorong beliau menubuhkan Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam pada 2014 dengan sokongan isteri dan ibu mentuanya.

Kini, klinik itu mempunyai dua cawangan di Johor dengan menawarkan perkhidmatan merangkumi rawatan kecederaan industri, pembuangan ketumbuhan dan pengurusan luka kompleks.

Teknologi oksigen sebagai pelengkap rawatan

Dalam usaha menyediakan pilihan penjagaan luka yang lebih meluas, klinik berkenaan turut menawarkan Advanced Oxygen Wound Therapy sebagai rawatan sokongan kepada pesakit yang memenuhi kriteria klinikal.

Kaedah itu bertujuan membantu mewujudkan persekitaran yang menyokong proses penyembuhan luka dan pembentukan tisu baharu.

Bagaimanapun, Dr Raymond menjelaskan terapi oksigen tidak menggantikan rawatan asas seperti kawalan jangkitan, pembuangan tisu mati, penilaian aliran darah dan pengawalan paras gula.

Sebaliknya, kesesuaian rawatan ditentukan berdasarkan jenis luka serta keadaan kesihatan pesakit selepas menjalani pemeriksaan.

Perkembangan luka juga dipantau secara berkala bagi memastikan rawatan yang diberikan bersesuaian dengan keperluan pesakit.

Daripada berisiko kehilangan kaki kepada berjalan sendiri

Antara kes yang meninggalkan kesan mendalam kepada Dr Raymond ialah pengalaman Tan Chin Chuan, 60, yang mengalami jangkitan serius pada kaki sehingga amputasi di bahagian betis dicadangkan oleh pihak hospital.

Isterinya, Gloria Goh, 53, berkata mereka mula mendapatkan khidmat Dr Raymond pada Februari 2026 selepas menerima saranan seorang pegawai farmasi.

Sebelum itu, pasangan berkenaan sudah mendapatkan pandangan daripada empat doktor lain, namun mereka diminta kembali mendapatkan rawatan di hospital.

Masih mengharapkan peluang untuk menyelamatkan kaki suaminya, Gloria akhirnya membawa beliau ke Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam untuk penilaian lanjut.

Sepanjang menjalani rawatan, Gloria bukan sahaja menghargai perhatian yang diberikan terhadap keadaan suaminya, malah turut berterima kasih atas sokongan emosi daripada doktor serta kakitangan klinik.

Malah, pihak klinik turut mengambil kira kemampuan kewangan pasangan itu dengan menyediakan kemudahan pembayaran secara ansuran bagi membantu mengurangkan beban kos rawatan.

“Kalau dahulu suami perlu menggunakan tongkat untuk berjalan, tetapi sekarang dia sudah boleh berjalan sendiri tanpa bantuan.

“Saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan Dr Raymond,” katanya dalam nada sebak.

Bagi Gloria, perkembangan kesihatan suaminya itu memberikan harapan baharu untuk mereka kembali menikmati kehidupan dengan lebih baik.

Jahitan kemas cerminkan ketelitian

Kemahiran Dr Raymond dalam bidang pembedahan turut mendapat perhatian kakitangan klinik, khususnya dari segi ketelitian ketika melakukan prosedur.

Pembantu Perubatan, Nurdini Eylis Husnina, 23, yang sudah tiga tahun berkhidmat di klinik berkenaan berkata, hasil jahitan Dr Raymond sering mendapat pujian pesakit.

Menurutnya, pengalaman doktor itu dalam bidang pembedahan plastik dan rekonstruktif memberikan kelebihan dari segi teknik serta kekemasan jahitan.

“Disebabkan pengalaman Dr Raymond dalam bidang pembedahan plastik, cara jahitannya sangat kemas dan teliti.

“Pesakit juga sering memuji hasil kerja beliau, terutama dari segi jahitan dan keadaan parut selepas pembedahan,” katanya.

Rawatan bukan sekadar menyembuhkan penyakit

Di sebalik komitmen terhadap rawatan klinikal, Dr Raymond percaya hubungan antara doktor dan pesakit perlu dibina atas dasar kepercayaan, empati serta komunikasi yang baik.

Menurutnya, pesakit yang berdepan masalah kesihatan serius bukan sahaja memerlukan rawatan fizikal, malah turut memerlukan sokongan emosi ketika melalui proses pemulihan.

Pengalaman membesar dalam keluarga yang pernah berdepan kesusahan turut membentuk keprihatinannya terhadap golongan kurang berkemampuan.

Justeru, pihak klinik sentiasa berusaha berbincang dengan pesakit bagi mengenal pasti pilihan rawatan yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan mereka.

Dalam keadaan tertentu, bantuan turut diberikan bagi meringankan sebahagian kos rawatan.

Pengurus Klinik, Rafella Ishak, 45, yang sudah lebih 10 tahun berkhidmat bersama Dr Raymond dan Dr Reshma Prakash berkata, kedua-dua pengarah klinik itu sentiasa mengambil berat kebajikan kakitangan serta menganggap mereka seperti keluarga sendiri.

Sepanjang bertugas, beliau menyaksikan ramai pesakit diabetes mendapatkan rawatan daripada Dr Raymond, termasuk mereka yang mengalami luka kronik dan berisiko menjalani amputasi.

“Jika pesakit kurang berkemampuan, pihak klinik akan cuba membantu mengurangkan beban kos dan memberikan cadangan rawatan yang bersesuaian supaya mereka dapat meneruskan pemeriksaan serta rawatan susulan secara berkala.

“Sepanjang pemerhatian saya, pesakit juga sangat selesa dengan rawatan dan perhatian yang diberikan, terutama oleh Dr Raymond,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi Rosnah Abd Jalil, 56, yang mempunyai pengalaman selama 34 tahun sebagai jururawat dan sudah lima tahun berkhidmat bersama Dr Raymond di sebuah pusat dialisis.

Menurutnya, doktor itu mudah didekati, merendah diri dan sentiasa bersedia memberikan penerangan kepada pesakit mengenai keadaan kesihatan mereka.

Beliau berkata, kebolehan memahami emosi pesakit amat penting, terutama bagi mereka yang perlu menjalani rawatan jangka panjang seperti dialisis.

“Dr Raymond seorang yang sangat merendah diri dan mudah didekati. Dia tahu bagaimana hendak mengendalikan emosi pesakit dan sentiasa bersedia menjawab sebarang pertanyaan mengenai keadaan kesihatan mereka.

“Sebagai rakan sekerja, dia juga sangat mengambil berat. Saya sendiri mempunyai masalah pada tapak kaki dan lutut, dan Dr Raymond yang menyarankan supaya saya mendapatkan rawatan. Syukur, masalah kaki saya kini sudah pulih,” katanya.

Rakan perubatan turut mengiktiraf komitmen

Komitmen Dr Raymond dalam memberikan rawatan turut mendapat pengiktirafan daripada rakan seperjuangan dalam bidang perubatan.

Bekas pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah, Dr Rosahibul Hanafi, 37, yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G), menyifatkan beliau sebagai seorang doktor yang berdedikasi, tegas dalam urusan kerja tetapi tenang ketika berhadapan pesakit.

Beliau yang pernah berkhidmat selama tujuh tahun di hospital berkenaan berkata, pengalaman bekerja bersama Dr Raymond memberikan pendedahan berguna mengenai kepentingan pengurusan dan penjagaan luka.

“Dr Raymond sangat komited dalam membantu pesakit, terutama dalam aspek rawatan dan penjagaan luka. Beliau seorang yang tegas, tetapi sangat tenang ketika mengendalikan pesakit.

“Klinik juga menyediakan suntikan intra-artikular untuk pesakit osteoartritis yang mengalami masalah sendi dan lutut. Rawatan ini boleh membantu mengurangkan kesakitan bagi pesakit yang bersesuaian,” katanya.

Menurutnya, Dr Raymond turut banyak memberikan sokongan ketika beliau bertugas di hospital dan berharap dapat kembali bekerjasama selepas menamatkan pengajian.

Perkhidmatan kesihatan untuk pelbagai keperluan

Selain pengurusan luka dan prosedur pembedahan, Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam turut menyediakan beberapa perkhidmatan kesihatan lain.

Penanggungjawab klinik cawangan Larkin, Dr Muhammad Shahrulzaman berkata, antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah ujian HIV secara sulit menerusi inisiatif Anonymous HIV Test.

Individu yang menjalani ujian berkenaan turut diberikan konsultasi dan penerangan mengenai langkah seterusnya sekiranya keputusan menunjukkan jangkitan HIV.

Menurutnya, masih terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai jangkitan berkenaan, sedangkan pesakit boleh mendapatkan rawatan antiretroviral (ART) bagi mengawal HIV dan meningkatkan kualiti hidup.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan berkhatan, termasuk untuk golongan lelaki dewasa yang semakin terbuka mendapatkan prosedur berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan prosedur pembedahan serta tenaga kerja terlatih turut disediakan bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit.

Katanya, perkara paling penting dalam bidang perubatan adalah meletakkan kepentingan pesakit sebagai keutamaan dan bukannya semata-mata mengejar keuntungan.

Kesetiaan pesakit menjadi ukuran kepercayaan

Hubungan yang dibina antara Dr Raymond dan pesakit turut terbukti menerusi kepercayaan yang diberikan sejak lebih sedekad lalu.

Ng Jit Si Ng, bekas akauntan bertauliah, masih mengingati tindakan pantas pasukan klinik ketika beliau mengalami masalah batu hempedu pada hari Ahad.

Ketika itu, tekanan darahnya menurun sehingga 50/30 mmHg dan keadaannya memerlukan perhatian segera.

Bagaimanapun, tindakan pantas Dr Raymond dan pasukannya berjaya menstabilkan keadaan sebelum beliau dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagi saya, klinik ini sangat mengambil berat dan sanggup melakukan banyak pengorbanan untuk membantu pesakit.

“Apabila sakit, kita bukan sekadar mahukan rawatan, tetapi doktor yang boleh memahami keadaan emosi dan psikologi kita ketika berdepan masalah kesihatan. Itulah yang saya lihat pada Dr Raymond dan pasukannya,” katanya.

Sementara itu, Ungku Fitri Ungku Muhammad, 50, berkata keluarganya sudah mendapatkan khidmat Dr Raymond sejak 13 tahun lalu.

Menurutnya, arwah ibunya pernah mendapatkan rawatan daripada doktor itu dan beliau sanggup memberikan bantuan walaupun selepas tengah malam.

Pengalaman positif itu turut dirasai apabila kakaknya yang menghidap diabetes mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

Katanya, Dr Raymond bukan sahaja memberikan perhatian kepada luka yang dialami kakaknya, malah turut berusaha mengenal pasti punca kecederaan dan mengawal risiko jangkitan.

Usaha rawatan serta pemantauan yang diberikan membantu memperbaiki keadaan kesihatan kakaknya.

“Dr Raymond berusaha merawat dan ‘go beyond’ daripada sekadar hubungan doktor dan pesakit.

“Bukan doktor sahaja, malah staf klinik juga banyak membantu dengan memberikan sokongan emosi serta perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan keluarga,” katanya.

Pengalaman serupa turut dikongsi pasangan Isnani Ab Malik, 51, dan Zainudin Abu Bakar, 59, yang sudah lebih 13 tahun mendapatkan rawatan daripada Dr Raymond.

Menurut Zainudin, isterinya pernah menjalani prosedur membuang lipoma di klinik berkenaan sebelum sampel tisu dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan bukan kanser.

Proses penjagaan luka selepas prosedur turut dilakukan di klinik itu bagi memastikan pemulihan berjalan dengan baik.

“Doktor merawat dan memantau keadaan isteri daripada awal sehingga selesai rawatan. Setiap hari saya datang untuk mencuci luka dan perkhidmatan yang diberikan memang memuaskan hati.

“Sejak itu, saya sentiasa mencadangkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan supaya mendapatkan rawatan di sini kerana kami sendiri sudah lama merasai layanan serta perhatian yang diberikan,” katanya.

Jangan pandang ringan luka kecil

Bagi Dr Raymond, kejayaan sesuatu rawatan bukan hanya dinilai berdasarkan keadaan luka yang semakin pulih, tetapi juga kemampuan pesakit untuk kembali menjalani kehidupan seharian.

Beliau berharap pesakit diabetes lebih peka terhadap penjagaan kaki dan melakukan pemeriksaan secara berkala bagi mengesan sebarang perubahan pada peringkat awal.

Luka, lepuh, perubahan warna kulit, bengkak atau tanda jangkitan perlu diberikan perhatian segera dan tidak seharusnya dibiarkan tanpa pemeriksaan.

Ini kerana pesakit diabetes berisiko mengalami gangguan saraf serta peredaran darah yang boleh menyebabkan luka kecil menjadi lebih serius dan mengambil masa lebih lama untuk sembuh.

Pengesanan awal, rawatan bersesuaian dan pemantauan berterusan penting bagi mengurangkan risiko komplikasi serta memastikan pesakit mendapat penjagaan sewajarnya.

Leave a Reply