KUALA LUMPUR – Kekurangan anggota fizikal bukan penghalang untuk seseorang meneroka dunia yang dianggap mustahil, termasuk melakukan aktiviti selam skuba, sekali gus membuktikan keupayaan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak seharusnya dinilai berdasarkan keterbatasan fizikal semata-mata.
Perspektif itu menjadi antara mesej utama filem Takdir Terakhir: Last Dive yang mengetengahkan keupayaan individu OKU meneroka dunia bawah laut menerusi aktiviti selam skuba.
Penerbit dan pengarahnya, Datin Dr Wendy Wong berkata, idea menghasilkan filem berkenaan tercetus selepas beliau menyaksikan sendiri keupayaan individu OKU melakukan aktiviti menyelam ketika berada di Amerika Syarikat.
Menurutnya, pertemuan dengan seorang jurulatih selam skuba OKU yang menunjukkan video individu tanpa kaki dan tangan masih mampu menyelam membuka perspektif baharu kepadanya.
“Apabila melihat video individu tanpa kaki dan tangan yang masih mampu melakukan aktiviti menyelam, saya sangat terkejut.
“Daripada situ, saya terfikir untuk menghasilkan sebuah filem yang menceritakan keupayaan golongan OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Poster Rasmi dan Treler Filem Takdir Terakhir: Last Dive serta Pertandingan Nyanyian Lagu Tema Asal (OST) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.
Wendy berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setahun untuk memasarkan idea filem berkenaan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Berlin dan Hong Kong sebelum memutuskan untuk meneruskan projek itu.
Bagaimanapun, beliau mengakui berdepan kesukaran mendapatkan sokongan pembiayaan apabila pihak yang ditemui lebih cenderung mencadangkan penerbitan filem bergenre seram atau aksi yang dianggap mempunyai potensi komersial.
Menurutnya, beliau mahu menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah membawa mesej bermakna kepada masyarakat.
Projek berkenaan kemudian menerima bantuan RM500,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi merealisasikan penerbitannya.
Wendy berkata, penggambaran turut berdepan cabaran termasuk menyediakan kemudahan mesra OKU, menguruskan pelakon serta memastikan prosedur keselamatan aktiviti menyelam dipatuhi.
Malah, beliau bersama pasukannya mengikuti kursus menyelam selama beberapa hari bagi memahami cabaran dan selok-belok aktiviti berkenaan sebelum memulakan penggambaran.
Selain mengetengahkan keupayaan OKU, filem itu turut membawa mesej kesedaran mengenai kepentingan melindungi hidupan marin dan terumbu karang.
Wendy berkata, antara isu yang diketengahkan ialah ancaman pukat yang dibuang ke laut sehingga menyebabkan hidupan marin termasuk ikan dan penyu berisiko terperangkap.
Katanya, masyarakat perlu lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan laut serta mengelakkan perbuatan yang boleh merosakkan ekosistem marin.
Filem berkenaan menjalani penggambaran selama kira-kira tiga minggu di Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah, Terengganu dengan sokongan beberapa pihak termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Menurut Wendy, karya itu turut mendapat maklum balas positif selepas diperkenalkan kepada pembeli dan ejen filem antarabangsa di Cannes, sekali gus membuka peluang untuk menyampaikan mesej pemuliharaan lautan kepada khalayak lebih luas.
Filem terbitan Syarikat Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd itu menampilkan barisan pelakon termasuk Aniq Durar, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Fify Azmi, Sandra Lim dan Fauziah Latiff, selain penampilan khas Datuk Ras Adiba Radzi.
Takdir Terakhir: Last Dive dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 3 Disember 2026.
