Samsung mengumumkan pelancaran  telefon pintar kelas permulaan baharunya Galaxy A18, bagi pasaran Malaysia. Model yang pernah beberapa kali tular di internet ini ditawarkan pada harga RM1,199.
Telefon pintar ini dilihat menawarkan rangkaian 4G LTE kerana di dalam pengumuman rasmi tersebut tidak dinyatakan mengenai 5G.
Perincian Spesifikasi Teknikal dan Paparan
Samsung Galaxy A18 menawarkan spesifikasi hampir sama seperti maklumat tertiris yang pernah tular sebelum ini.
Menampilkan skrin bersaiz 6.7 inci beresolusi Full HD+, paparan skrinnya berbeza dengan spekulasi yang menjangkakan kaca Corning Gorilla Glass Victus. Spesifikasi rasminya mengesahkan ia dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 3.
Pemprosesannya pula dikuasakan oleh MediaTek Helio G99 bagi mengendalikan keperluan harian. Manakala baterinya pula berkapasiti 5,000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W.
Telefon pintar ini beroperasi menggunakan antara muka One UI 9 terkini. Ia juga mempunyai penarafan ketahanan debu serta percikan air IP64.
Konfigurasi Memori dan Storan
Terdapat beberapa perbezaan pada penawaran memori dan storan bagi pasaran tempatan.
Model ini hanya ditawarkan dalam satu pilihan kapasiti storan sahaja, iaitu 128GB. Semakan di Urban Republic juga mendapati varian 64GB turut disenaraikan tetapi telah dipotong. Menunjukkan ia tidak tersedia untuk pasaran tempatan.
Lembaran spesifikasi juga mencatatkan sokongan 6GB RAM. Walau bagaimanapun, angka tersebut merupakan sebahagian daripada ciri RAM Plus.

Jumlah RAM fizikal sebenar tidak dinyatakan secara khusus. Namun dijangkakan sekitar 4GB berdasarkan trend penawaran pengeluar lain dalam segmen yang sama.
Bagi aspek fotografi, susunan kamera belakang tidak mengalami perubahan berbanding maklumat awal. Di belakangnya disediakan kamera utama dengan sensor 50MP, kamera bersudut lebar 5MP dan kamera makro 2MP. Juga disediakan kamera 13MP di sebelah hadapan yang boleh digunakan untuk berswafoto.
Harga dan Promosi

Samsung Galaxy A18 ditetapkan pada harga rasmi RM1,199, naik RM50 berbanding harga model terdahulu, Galaxy A17.
Bagi pembelian yang dibuat sehingga 31 Disember, pembeli layak menikmati tawaran promosi pengenalan iaitu potongan harga RM100 dan percuma pengecas 25W bernilai RM89.
