IMG_8049

BANGI – Yayasan Ikhlas memperkukuh persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dengan menggerakkan seramai 7,997 sukarelawan, menyediakan tiga bot operasi serta memperluas kerjasama strategik bagi memastikan bantuan kepada mangsa banjir dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan.

Persediaan itu diumumkan menerusi Majlis Pelancaran Bantuan Bencana Banjir MTL 2026/2027 yang dirasmikan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Syafiq Syahmi, sebagai langkah mempertingkat keupayaan organisasi menghadapi kemungkinan bencana sepanjang musim tengkujuh.

Keupayaan Yayasan Ikhlas dalam operasi bantuan kemanusiaan turut dibuktikan menerusi pencapaian sepanjang MTL 2025/2026 apabila berjaya melaksanakan 122 misi bantuan dengan peruntukan RM1.4 juta, sekali gus memberi manfaat kepada 93,550 mangsa bencana di lapan negeri.

Berdasarkan pengalaman tersebut, Yayasan Ikhlas kini memberi tumpuan kepada pengukuhan mobilisasi sukarelawan, kesiapsiagaan aset logistik serta penyelarasan bersama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Antara aset operasi yang disediakan termasuk tiga bot, kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan van bagi menyokong pergerakan pasukan serta penghantaran bantuan, khususnya ke kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat.

Selain itu, kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi inisiatif Civil Defence Auxiliary – Emergency Response Team (CDA-ERT) turut memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan organisasi berkenaan.

Menerusi inisiatif itu, seramai 228 sukarelawan telah menerima pendedahan dan latihan dalam aspek pengurusan bencana, pertolongan cemas serta tindak balas kecemasan bagi membolehkan mereka digerakkan mengikut keperluan operasi, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Syafiq berkata, kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu dibina lebih awal melalui perancangan, latihan dan penyelarasan berterusan, bukannya hanya bermula apabila banjir melanda.

Menurutnya, faktor masa amat kritikal ketika bencana berlaku kerana setiap minit boleh memberi kesan kepada keselamatan dan kehidupan mangsa yang terjejas.

Beliau berkata, pengurusan bencana juga memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk APM, agensi kerajaan, NGO, sektor korporat dan pemimpin komuniti bagi memastikan sumber serta kepakaran dapat digembleng secara berkesan.

Bagi menghadapi MTL 2026/2027, Yayasan Ikhlas menetapkan tiga fasa utama operasi merangkumi persediaan sebelum bencana, tindakan ketika bencana dan pemulihan selepas bencana.

Pada fasa persediaan, tumpuan diberikan kepada penyelarasan sukarelawan, pemeriksaan aset, latihan serta pengenalpastian kawasan berisiko banjir.

Ketika bencana pula, bantuan akan merangkumi penyediaan makanan menerusi Dapur Ikhlas, pengagihan barangan keperluan asas serta sokongan kepada mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sementara itu, usaha pemulihan selepas banjir akan melibatkan bantuan keperluan asas, aktiviti pembersihan rumah dan kawasan terjejas serta sokongan kepada keluarga yang terkesan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

Dalam memastikan kelancaran operasi, Yayasan Ikhlas turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan pembangunan kapasiti sukarelawan, termasuk memastikan mereka mempunyai pengetahuan, kemahiran serta disiplin yang bersesuaian.

Sebarang tugasan menyelamat dan operasi berisiko akan dilaksanakan menerusi penyelarasan bersama pihak berkuasa serta anggota yang mempunyai latihan dan kelayakan berkaitan.

Yayasan Ikhlas turut mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pihak korporat, NGO, agensi kerajaan dan masyarakat umum untuk bersama-sama memperkukuh ekosistem bantuan bencana negara.

Orang ramai yang ingin menyumbang bagi menjayakan Bantuan Bencana Banjir MTL 2026/2027 boleh menyalurkan sumbangan menerusi laman web misibantuan.com atau ke akaun Yayasan Ikhlas bernombor 5628 3463 6235.

Leave a Reply