GEORGE TOWN – Kerajaan tidak akan mengeluarkan belanja bagi menampung kos penyiaran Piala Dunia 2018 di RTM bernilai RM30 juta kerana telah menerima penajaan daripada pihak swasta.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya setakat ini telah menerima tajaan daripada beberapa pihak berjumlah RM30 juta.
“Justeru, kerajaan tidak akan mengeluarkan satu sen pun bagi penyiaran Piala Dunia,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar di sini sebentar tadi.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yow.
Sementara itu, pada sidang akhbar terbabit, Kon Yow mengumumkan pihaknya menerima sumbangan masing-masing berjumlah RM1 juta daripada syarikat Ewein Berhad, Magni-Tech Industries Berhad serta ahli perniagaan, Tan Sri Tan Kok Ping kepada Tabung Harapan Malaysia.
