Petisyen yang dimuat naik di laman web ipetitions.com kelmarin dengan tajuk Menolak Pelantikan Tommy Tho­mas Sebagai Peguam Negara dimulakan oleh individu yang menamakan dirinya sebagai Pejuang Melayu.

Setakat pukul 11.30 malam tadi, seramai 21,032 orang sudah menandatangani petisyen dari­pada sasaran 1,000 tandatangan yang diperlukan bagi membantah cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melantik Tommy sebagai Peguam Negara.

Petisyen itu menyeru semua rakyat Malaysia membantah pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara dan bertegas mahu individu lain dilantik dalam kalangan tokoh guaman Melayu serta beragama Islam.

Walaupun cadangan pelantikan Tommy didakwa mampu menghantar isyarat jelas kepada rakyat bahawa kerajaan PH serius hendak membetulkan institusi negara yang cacat, ia perlu dibantah kerana didakwa tidak disenangi oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kebanyakan orang ramai yang menandatangani peti­syen tersebut bersetuju agar Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menolak pelantikan Tommy kerana mereka mahukan individu lain yang boleh menjamin kedau­latan Islam dan Melayu.

“Carilah Peguam Negara yang neutral. Yang boleh berkhidmat untuk Malaysia dan setia dengan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Rukun Negara,” tulis seorang penyokong petisyen itu melalui ruangan komen yang di­sediakan.

Dalam pada itu, parti UMNO, dalam satu kenya­taan malam tadi berkata, seiring dengan prinsip Raja Berperlembagaan adalah wajar jika calon Peguam Negara mempunyai sikap peduli Raja, peduli Islam.

“Peduli Raja bermaksud memahami, menghormati dan mendaulatkan Institusi Raja-Raja Melayu.

“Peduli Islam ertinya calon itu mestilah orang Islam dan mempunyai kefahaman serta penghayatan sepenuhnya termasuk hal ehwal undang-­undang syariah,” kata kenya­taan itu lagi.