SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan bertemu dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetahui maklumat terkini mengenai perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.
Mohamed Azmin memberitahu, beliau tidak mengetahui sebarang informasi berkenaan perkara yang dibincangkan oleh Anwar dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V malam tadi.
“Saya belum mengetahuinya berikutan Anwar pulang pada awal pagi (selepas menghadap Sultan Muhamad V).
“Namun, saya akan berjumpa dengan beliau pukul 3 petang hari ini untuk mengetahui maklumat mengenainya,” katanya ketika ditemui di perkarangan luar Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan lokasi pertemuannya bersama Anwar nanti.
Mohamed Azmin berkata demikian bagi mengulas perkara yang dibincangkan oleh Anwar Ibrahim bersama Sultan Muhammad V di Istana Negara sehingga Thomas diperkenankan dilantik sebagai Peguam Negara.
Serentak itu, perbincangan khas Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan Peguam Kanan, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang dijadualkan diadakan pada hari ini telah dibatalkan.
