KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamed Apandi Ali menerima keputusan  kerajaan menamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara.

“Apa-apa keputusan pun saya akan terima dengan reda sebagai  ketentuan oleh Allah SWT. Alhamdulillah,”  katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp apabila ditanya mengenai penamatan perkhidmatannya itu pagi ini.
Dalam satu kenyataan bertarikh 4 Jun yang dikeluarkan oleh  Istana  Negara  kepada  Bernama  awal  pagi ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan penamatan perkhidmatan Mohamed Apandi selaku Peguam Negara  oleh Kerajaan Malaysia.
Wan Ahmad Dahlan berkata Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara menurut Artikel 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini telah mencadangkan peguam terkemuka, Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara untuk menggantikan Mohamed Apandi, yang diberikan cuti tanpa rekod selama 30 hari sejak 15 Mei, 2018.
Pada 14 Mei lepas, Dr Mahathir berkata Mohamed Apandi sudah diarahkan bercuti dan Peguam Cara  Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek mengambil alih tugas beliau berkuat kuasa serta merta.
Mohamed Apandi, 68, anak kelahiran Kelantan dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015, menggantikan Tan Sri Abdul Gani  Patail yang perkhidmatannya  ditamatkan  atas faktor kesihatan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading