Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, setakat ini terdapat lebih kurang 1,300 kes tertunggak yang memerlukan rujukan dan keputusan menteri untuk dibawa ke Mahkamah Perusahaan.

“Seseorang pekerja dibuang kerja dan dia merujuk perkara ini ke Jabatan Perhubungan Perusahaan yang mana majikan akan dipanggil untuk penyelesaian. Sekiranya tidak ada jalan penyelesaian, kes ini akan dirujuk kepada menteri dan menteri akan membuat keputusan sama ada untuk dibawa ke Mahkamah Perusahaan atau tidak.

“Saya (seorang menteri) menjadi proses untuk tapisan. Saya rasa tidak perlu wujudnya kuasa tersebut. Jika sesiapa mahu merujuk kepada Mahkamah Perusahaan dia harus terus pergi (mahkamah) tidak perlu rujuk menteri,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif, di sini.

Katanya beliau akan membawa cadangan pembatalan kuasa menteri tersebut ke mesyuarat kabinet dalam masa terdekat sebelum dibentangkan di Parlimen.