KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan parti keramat itu berupaya bangkit melakukan pembaharuan untuk terus berbakti kepada rakyat.

Beliau berkata, barisan kepemimpinan yang bakal menerajui UMNO dalam keadaan sukar seperti hari ini bukan saja perlu memiliki keyakinan tetapi harus merentasi semua aspek demografik selain mempunyai platform di semua tempat.

Justeru itu, katanya pemimpin yang dipilih seharusnya mampu membawa suara akar umbi dan suara parti sebagai parti pembangkang di Dewan Rakyat.

“Dalam hal ini, saya dengan rendah hati menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana saya bukan sahaja berasal dari kilang pergerakan ini, malah masih muda dan mempunyai pengalaman mentadbir Pemuda UMNO Pahang.

“Menjadi pengganti kepada seorang pemimpin yang disegani dan mempunyai reputasi tinggi seperti Khairy Jamaluddin bukan sesuatu yang mudah namun saya bersedia untuk menggalas tanggungjawab berat yang diberikan.

“Ini kerana untuk meneruskan kesinambungan parti, kita memerlukan ramai pemimpin yang hebat dan tidak boleh bergantung kepada hanya seseorang pemimpin sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Setakat ini, selain Mohd Shahar, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Jamalullail Syed Harman turut menawarkan diri bertanding bagi merebut jawatan tertinggi sayap parti itu.

Mohd Shahar sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Paya Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan majoriti 5,742 undi.

Mohd Shahar memperoleh 19,033 undi menewaskan calon PAS, Mohd Azhar Mohamad Nor yang mendapat 13,291 undi, manakala calon PKR, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir hanya memperoleh 11,776 undi.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading