SHAH ALAM – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang menghilangkan diri sebelum melengkapkan ikat jamin dirayu pulang untuk menyempurnakan proses jaminan itu.
Peguam, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, ia bagi mengelakkan sebarang implikasi perundangan lain timbul pada akan datang.
“Sekiranya beliau mendengar (rakaman video) ini, saya rayu agar beliau pulang,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir berjumpa dengan Jamal sewaktu pemimpin Umno itu sedang mendapatkan rawatan di hospital swasta di Ampang.
“Saya bertentang mata dengannya di hospital pada Khamis sebelum pertuduhan di buat ke atasnya keesokan harinya,” katanya.
Mohd Imran berkata, beliau ke hospital selepas solat Jumaat untuk membawa Jamal ke Mahkamah Ampang bagi menyempurnakan jaminan.
“Tetapi apabila sampai di hospital, beliau tidak ada. Jadi masalah timbul bermula dari situ,” katanya.
Beliau berkata, sehingga hari ini tiada sebarang arahan yang diberikan Jamal terhadap peguam.
“Apa yang kami lakukan hari ini adalah sebagai tanggungjawab ,” katanya.
Menurutnya, pihaknya yakin Jamal mengikuti perkembangan semasa terutamanya terhadap kes melibatkannya.
“Saya mohon beliau beri kerjasama kepada mahkamah dan polis supaya boleh selesaikan kes ini secepat mungkin.
“Setakat ini, saya tidak lagi berhasrat menarik diri mewakili beliau,” katanya yang juga Panel Penasihat Umno Sungai Besar.
