PUTRAJAYA: Institusi perbankan di Jepun dilaporkan memberi reaksi positif terhadap cadangan Malaysia untuk mendapatkan pinjaman mudah dari negara itu.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa, berkata beliau belum menerima kenyataan rasmi daripada institusi perbankan berkenaan, namun setakat ini mereka menunjukkan reaksi yang positif.

“Mereka (institusi perbankan di Jepun) belum lagi memberi kenyataan rasmi berhubung permintaan Malaysia itu kerana saya hanya menemui mereka beberapa hari lalu.

“Namun, Perdana Menteri (Shinzo Abe) sudah menghantar satu nota jelas supaya sektor kerajaan dan swasta di Jepun dapat mempertimbangkan permohonan Malaysia itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan rasmi terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini, semalam.

Katanya, beliau bertemu dengan beberapa presiden institusi perbankan di Jepun, baru-baru ini dan kebanyakan mereka juga menyambut baik perkara itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertemuan dengan Abe di Tokyo, baru-baru ini meminta Jepun mempertimbangkan pemberian pinjaman mudah bagi membantu menangani masalah kewangan dihadapi Malaysia buat masa ini.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, kredit Yen pada kadar faedah lebih rendah berpotensi digunakan untuk menamatkan sebahagian daripada pinjaman kos tinggi sedia ada, yang ada antaranya mempunyai kadar faedah setinggi 6.0 peratus.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading