MOSCOW: Pertembungan antara dua penyerang berbisa di kancah bola sepak Eropah – Robert Lewandowski dan Sadio Mane di Piala Dunia bakal menarik perhatian menjelang pertemuan Poland dan Senegal.
Lewandowski yang beraksi untuk Bayern Munich menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak Bundesliga buat kali ketiga dengan 29 gol, dan meledak 41 kali dalam semua perlawanan.
Mane menjaringkan 10 gol Liga Juara Juara – termasuk satu gol ketika aksi final di Kiev – membentuk gandingan yang berbisa di Liverpool bersama pemain Mesir, Mohamed Salah dan pemain Brazil, Roberto Firmino.
“Saya percaya Sadio boleh menjadi salah seorang bintang dalam kejohanan ini,” kata bekas pemain Senegal, El Hadji Diouf, yang bermain di Jepun dan Korea Selatan pada tahun 2002, pada ketika negara itu beraksi di Piala Dunia.
Poland turun dalam aksi Kumpulan H di Stadium Spartak sebagai pasukan pilihan dan dijangka menerajui kumpulan yang turut dibarisi Colombia dan Jepun.
Ia adalah penampilan kelapan Poland yang kini berada di ranking kelapan dunia, dengan pasukan pimpinan Adam Nawalka itu terdesak untuk memperbaiki pencapaian tempat ketiga pada tahun 1974 dan 1982.
Lewandowski mengakui dia mahu membuktikan sesuatu selepas kecewa pada Euro 2016 di mana dia hanya meledak satu gol untuk Poland di peringkat suku akhir.
Pemain berusia 29 tahun itu akhirnya menterjemah aksi cemerlang bersama kelab di peringkat antarabangsa, mencatat rekod kelayakan Eropah dengan 16 gol dalam 10 perlawanan untuk memastikan Poland berada di Russia.
Lewandowski berkata dia menyertai kejohanan kali ini dengan pendekatan berbeza berbanding Euro 2016.
“Saya yakin latihan akan lebih baik sekarang dan saya akan menjadi lebih segar dan dinamik pada masa yang tepat,” katanya. “Saya melakukan persiapan untuk Piala Dunia lebih awal.”
Sementara itu Senegal berharap dapat mencontohi pasukan perintis 2002 yang diketuai oleh Aliou Cisse, kini bertindak sekarang jurulatih kebangsaan.
Cisse memulakan kempen tahun itu dengan salah satu kejutan terbesar Piala Dunia, kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, Perancis dan terus mara untuk menjadi salah satu daripada hanya tiga pasukan benua Afrika pernah mara ke suku akhir.
“Pasukan itu sudah melakar sejarahnya, dan kini terpulang kepada skuad ini untuk mencipta sejarah mereka,” kata Cisse.
