Kuala Lumpur – Dalam dunia yang semakin mencabar, peranan wanita tidak lagi sekadar sebagai penyokong di belakang tabir, tetapi tampil sebagai pemimpin yang mencorakkan masa depan keluarga, masyarakat dan negara. Atas semangat inilah, program 100 Wanita Inspirasi Nasional (WIN) 2026 dianjurkan oleh IKSNita Sabah dengan kerjasama pelbagai agensi strategik sebagai platform mengiktiraf wanita luar biasa yang memberi impak besar dalam bidang masing-masing.
Antara nama yang mencuri perhatian ialah Puan Suzana Abu Bakar, tokoh dalam industri pewarisan harta Islam yang bukan sahaja membina kerjaya cemerlang, malah mengangkat nilai kemanusiaan dan kasih sayang sebagai asas perjuangannya.

Perjalanan Seorang Wanita Berjiwa Besar
Dilahirkan di Temerloh, Pahang, Suzana dibesarkan dalam keluarga yang menekankan nilai keusahawanan sejak kecil. Pendidikan dalam bidang Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia menjadi asas kukuh kepada kerjayanya sebelum beliau mengorak langkah dalam bidang audit selama hampir satu dekad.
Namun, perjalanan hidupnya berubah arah apabila beliau memilih untuk memberi keutamaan kepada keluarga, sambil terus mencari ruang untuk menyumbang kepada masyarakat. Keputusan tersebut membawa beliau ke bidang perancangan kewangan Islam pada tahun 2005 satu langkah yang menjadi titik tolak kepada misi hidupnya hari ini.
Detik paling memberi kesan dalam hidupnya berlaku apabila beliau berdepan dengan seorang balu yang kehilangan suami tanpa sebarang perancangan harta. Kisah seorang ibu yang terpaksa meninggalkan enam orang anak demi mencari rezeki di luar negara akibat kegagalan mengurus pusaka membuka mata dan hatinya tentang realiti pahit yang dihadapi ramai wanita.
Dari situlah lahirnya tekad:
“Setiap wanita perlu ada ilmu pewarisan harta bukan untuk harta, tetapi untuk kelangsungan hidup keluarga.”
Memimpin Industri, Membina Legasi
Suzana Abu Bakar kini merupakan Pengarah Eksekutif Kausar Wealth Management Sdn Bhd, agensi pewarisan harta Islam No.1 di Malaysia dan rakan strategik penerima anugerah terbanyak Wasiyyah Shoppe Berhad.
Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam industri, beliau merupakan Perancang Kewangan Berlesen yang memegang Lesen Wakil Pasaran Modal dan Perkhidmatan Kewangan (CMSRL) daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Beliau turut memiliki pelbagai kelayakan profesional termasuk Islamic Financial Planner (IFP), Shariah Registered Financial Planner (RFPs), Pensijilan Mediator oleh The Accord Group Australia, Jurulatih bertauliah di bawah HRD Corp dan Pandu Citra Bertauliah (Certified Professional Coach) oleh IAC, UK. Pada tahun 2023, beliau menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM), sekali gus mengukuhkan lagi kepakarannya dalam bidang kepimpinan dan pengurusan.
Di bawah kepimpinannya, Kausar bukan sekadar menyediakan perkhidmatan, tetapi membina ekosistem ilmu yang menyeluruh. Dengan lebih 8,000 pelanggan dan pengurusan aset bernilai RM8 bilion, Kausar muncul sebagai peneraju dalam membantu masyarakat merancang legasi secara patuh syariah.
Kausar memperkenalkan pelbagai inovasi seperti sistem latihan OSAK, teknologi FAST serta program pembangunan kepimpinan yang melahirkan ribuan perunding pewarisan harta Islam di seluruh negara.
Bagi beliau, kejayaan sebenar bukan diukur pada angka semata-mata, tetapi pada berapa ramai kehidupan yang berjaya diubah dan dilindungi.

Wanita Inspirasi: Lebih Daripada Pengiktirafan
Pengiktirafan sebagai salah seorang daripada 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026 bukan sekadar penghargaan peribadi, tetapi satu amanah besar kepada masyarakat.
Program WIN 2026 menghimpunkan wanita daripada pelbagai bidang akademik, korporat, keusahawanan dan sosial yang masing-masing memainkan peranan dalam membina negara. Ia mencerminkan satu hakikat penting: kepimpinan wanita adalah pemangkin kepada pembangunan negara yang mampan.
Bagi Suzana, amanah ini diterjemahkan melalui akronim W.I.N., yang mencerminkan peranan sebenar wanita inspirasi:
W – Wisdom (Membangun Kepakaran dan Nilai)
Membina lebih ramai perunding yang berilmu, beretika dan kompeten dalam pewarisan harta Islam, agar ilmu ini dapat disampaikan dengan jelas, tepat dan memberi manfaat luas kepada masyarakat.
I – Impact (Memberi Solusi dan Mengubah Realiti Masyarakat)
Menggerakkan perubahan melalui tindakan membantu keluarga merancang pewarisan secara holistik, mengelakkan konflik serta mengurangkan isu harta beku yang semakin membimbangkan di negara ini.
N – Nation Shapers (Membina Sistem dan Masa Depan Negara)
Membentuk ekosistem pewarisan harta yang mampan, melahirkan lebih ramai pemimpin dalam industri serta memastikan harta dapat di wariskan dan memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Pewarisan Harta: Antara Ilmu dan Kasih Sayang
Dalam masyarakat hari ini, isu pewarisan harta sering dianggap kompleks dan teknikal. Namun bagi Suzana, ia sebenarnya soal kasih sayang.
“Pewarisan harta bukan sekadar tentang angka atau dokumen. Ia adalah tentang bagaimana kita melindungi orang yang kita sayang selepas kita tiada,” jelas beliau.
Melalui slogan “Rancang Kerana Sayang”, beliau mengajak masyarakat melihat perancangan harta sebagai satu tanggungjawab, kasih sayang dan harmoni bukan sekadar kewajipan kewangan.
Cabaran dan Harapan Masa Depan
Walaupun pencapaian yang diraih amat membanggakan, Suzana mengakui bahawa cabaran masih besar. Tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perancangan harta masih rendah, dengan hanya sebahagian kecil yang mengambil tindakan secara serius.
Selain itu, kekurangan perunding terlatih serta keperluan modul latihan yang sistematik menjadi antara cabaran utama dalam memperluaskan impak industri ini.
Namun, beliau tetap optimis. Dengan sasaran melatih sehingga 10,000 perunding serta memperluaskan operasi ke peringkat antarabangsa, beliau yakin ilmu pewarisan harta Islam mampu menjadi pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat global.

Wanita, Keluarga dan Negara
Di sebalik segala pencapaian, Suzana tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Sebagai ibu kepada empat orang anak, beliau percaya bahawa kejayaan sebenar bermula dari rumah.
“Keluarga adalah asas kepada segalanya. Jika keluarga kuat, masyarakat akan stabil dan negara akan kukuh,” katanya.
Kisah Suzana Abu Bakar membuktikan bahawa kejayaan seorang wanita bukan hanya terletak pada pencapaian peribadi, tetapi pada impak yang ditinggalkan kepada orang lain. Sebagai Wanita Inspirasi Nasional, beliau membawa mesej yang jelas bahawa Wanita inspirasi bukan hanya mencipta kejayaan, tetapi membangun insan, mengubah kehidupan dan mewariskan legasi kepimpinan yang mencorak masa depan.
Dalam dunia yang terus berubah, wanita seperti Suzana adalah bukti bahawa dengan ilmu, keazaman dan kasih sayang, seorang wanita mampu menjadi agen perubahan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi untuk seluruh negara.
Suzana juga aktif berkongsi ilmu berkaitan wanita dan pewarisan harta melalui platform TikTok: @suzanaabubakar7
