Photo 1 CIMB Islamic Melon Manis.jpg

Kuala Lumpur – CIMB Islamic Bank Berhad (“CIMB Islamic” atau “Bank”) terus memacu pembangunan inklusif dan mampan menerusi inisiatif iTEKAD CIMB Islamic Melon Manis Terengganu Graduate Agropreneur Programme (“Program”), mengukuhkan matlamat CIMB memperkasa pelanggan dan masyarakat atau Advancing Customers and Society. Sejak 2023, Bank telah memperuntukkan RM750,000 dana permulaan untuk memperkasa 40 pelajar asnaf dan kurang berkemampuan meliputi dua kohort. Menerusi keusahawanan berasaskan agro yang lestari, kira-kira 12,000 tanaman premium Melon Manis Terengganu (“MMT”) telah berjaya dituai dengan potensi komersial yang tinggi.


Susulan kejayaan kohort sulungnya, CIMB Islamic komited untuk memperluaskan Program kepada kohort kedua dengan mempertingkat latihan dan pengeluaran di empat rumah hijau yang terletak di Universiti Sultan Zainal Abidin (“UniSZA”) Kampus Besut, mengukuhkan sokongan berterusan Bank terhadap komuniti kurang mendapat perkhidmatan serta memangkin peluang penjanaan pendapatan yang praktikal dan mampan.


Majlis pelancaran kohort baharu dan rumah hijau itu dirasmikan Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi CIMB Group bersama Dato’ Hj. Mohd Fadzli Yusof, Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (“YDSM”), Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, Naib Canselor UniSZA, Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Haniz Nazlan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB dan Toni Darusman, Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB.


Novan berkata, “Program itu mencerminkan komitmen kami untuk memperkasa pelanggan dan masyarakat dengan memanfaatkan kewangan sosial Islam sebagai pemangkin pembangunan negara yang inklusif dan mampan. Melalui pengintegrasian keterangkuman kewangan dan pembinaan keupayaan secara terancang, kami memperkasa pelajar untuk menjana sumber pendapatan yang berdaya tahan, di samping mengukuhkan rantaian nilai agro tempatan dan memperluas peluang pendapatan di Terengganu.

Selain menyokong peserta secara individu, Program ini turut melahirkan generasi baharu agropreneur yang bersedia menghadapi masa hadapan, dengan menyediakan laluan praktikal dan mampan untuk belia terlibat dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi untuk negara, terutama pertanian moden, menyumbang kepada landskap sekuriti makanan yang lebih berdaya tahan dan inklusif dalam jangka panjang.”

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama YDSM dan UniSZA ini menyediakan belia daripada komuniti kurang berkemampuan dan asnaf dengan kepakaran teknikal, kemahiran keusahawanan dan akses kepada sumber penting melalui latihan berstruktur serta pengalaman pertanian secara langsung di lapangan, bagi memastikan kejayaan mereka dalam landskap pertanian moden.

Kesemua peserta daripada kohort sulung kekal aktif dalam Program ini dan secara kolektif mencatatkan pendapatan purata sekitar RM3,000 seorang bagi setiap musim tuaian. Pencapaian ini membuktikan daya maju keusahawanan berasaskan agro sebagai laluan jangka panjang yang mampan bagi graduan dan belia di Terengganu.

Bazli Amin Baharin, 25, salah seorang peserta kohort pertama Program itu berkata, “Sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaantani di UniSZA, program ini berkait rapat dengan pembelajaran akademik saya dan menyediakan peluang untuk merasai bidang pertanian di luar bilik kuliah.

Dengan terlibat secara langsung dalam pengurusan tanaman, perancangan kewangan dan pemasaran telah mengukuhkan keupayaan teknikal dan perniagaan saya, dan yang lebih penting, membina keyakinan untuk mengurus projek tanaman saya sendiri. Saya amat menghargai CIMB atas pengalaman yang diperoleh, mengukuhkan matlamat saya untuk menceburi agropreneurship secara komersial dan menyumbang kepada ekosistem pertanian yang lebih mampan. Ini adalah pengalaman yang akan saya bawa bersama apabila melangkah ke fasa seterusnya.”

Sementara itu, Nur Syazwani Safi Sukri, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Pertanian di UniSZA berkata, “Pada mulanya, saya menyertai program ini untuk mencari pengalaman baharu dalam bidang pertanian serta mengasah bakat dan kemampuan diri. Melalui pendedahan di makmal dan pengalaman secara langsung di ladang, saya mula melihat bidang ini dengan perspektif berbeza. Terima kasih kepada CIMB, pengalaman daripada program ini memberikan nilai tambah yang sangat bermakna berbanding pembelajaran teori semata-mata, dan membantu saya melihat dengan lebih jelas potensi dalam bidang pertanian, sesuatu yang tidak pernah benar-benar saya pertimbangkan, serta memberi keyakinan untuk meneruskan pembelajaran dalam agropreneurship.”

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif iTEKAD Bank Negara Malaysia, sebuah platform kewangan sosial Islam nasional yang disambut oleh CIMB Islamic bagi memacu pemerkasaan ekonomi secara menyeluruh. Di bawah inisiatif ini, CIMB Islamic menjalankan tiga program utama iaitu iTEKAD Program Keusahawanan CIMB Islamic–Taylor’s, iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur Asnaf Programme dan iTEKAD CIMB Islamic Melon Manis Terengganu Agropreneur Programme.

Melalui gabungan dana zakat, wakaf dan pelaburan berimpak, program-program ini menyediakan sokongan kewangan, pembangunan keupayaan secara berstruktur serta akses pasaran bagi memperkasa komuniti kurang berkemampuan dan usahawan mikro. Menerusi usaha-usaha ini, CIMB Islamic terus menyumbang kepada pertumbuhan inklusif, mengukuhkan daya tahan jangka panjang serta memupuk impak sosial dan peluang ekonomi yang lebih luas dalam segenap peringkat masyarakat.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading