KUALA LUMPUR: Mula mengenakan tudung sejak awal Ramadan lalu, penyanyi, Maya Matahari, berharap hasratnya untuk menutup aurat dengan lebih sempurna dipermudahkan.
Pada masa sama, wanita berusia 42 tahun itu berdoa semoga dirinya terus istiqamah dalam melaksanakan tuntutan agama.
“Sebenarnya, sudah lama saya cuba memakai tudung, tetapi tidak kekal. Bagaimanapun pada Ramadan lalu, keinginan itu seperti dipermudahkan.
“Saya sendiri selesa dengan imej baharu ini. Bahkan, jika hendak keluar ke kawasan berdekatan rumah sekalipun, saya tetap ingin bertudung atau berselendang,” katanya.
Menurut Maya, dia tergerak hati untuk bertudung sepenuhnya ketika pulang beraya ke Johor Bahru, baru-baru ini.
“Malah, pada pagi raya, saya jadi sangat teruja kerana bukan sekadar menggosok baju, sebaliknya tudung untuk digayakan juga.
“Selama ini, saya banyak membeli dan mengumpul tudung daripada pelbagai rekaan. Jadi, ia bukanlah satu masalah. Saya juga mula menempah baju yang lebih sopan dan tidak mendedahkan,” katanya.
Sementara itu, Maya kini menghitung hari untuk melancarkan single terbaru berkonsep pop, Perlu Ada Setia, hasil ciptaan Tam Spider dan lirik tulisan Iman Imran.
“Bertudung juga bukan halangan untuk saya meneruskan kerjaya seni. Kita dapat lihat, mereka yang berhijab pun boleh menyanyi hip hop. Selagi kita pandai membawa diri, insya-Allah semuanya baik-baik saja,” ujarnya.
