Bagaimanapun, kemunculannya itu hanya melalui tayangan rakaman video yang dipancarkan menerusi dua papan layar skrin di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar.
Jamal dalam amanatnya kepada seluruh perwakilan UMNO bahagian itu berkata, meskipun berlaku pertandingan dalam UMNO, ahli parti diingatkan jangan sesekali berpecah-belah.
“Insya-ALLAH, perpaduan yang wujud di dalam UMNO Bahagian Sungai Besar ini tidak mudah untuk orang lain memecah-belahkan kita sebagai satu pasukan,” katanya.
Katanya, meskipun beliau tidak dapat hadir bersama-sama perwakilan peringkat sayap bahagian itu, namun jiwa dan raga beliau terus kekal utuh terhadap bahagian berkenaan.
“Saya juga mengucapkan terima kasih atas sokongan padu kepada saya dari dulu sehingga kini dan seterusnya,” katanya.
Jamal sebelum ini dilaporkan menghilangkan diri selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri.
