Tanda tanya berhubung nilai sebenar rampasan barang kemas dan jam tangan mewah, di dalam baki 37 bagasi yang dirampas polis dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pavilion Residences pada 18 Mei lalu, bakal terjawab hari ini.
Menurut jemputan dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sidang media khas akan dilakukan Pengarah Jabatan siasatan jenayah komersil, (JSJK) Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, pada jam 11 pagi nanti.
Difahamkan, proses pengiraan barang kemas itu memakan masa lama, berikutan ia memerlukan bantuan pakar barang kemas dan jam tangan mewah, bagi mengetahui nilai sebenar barang berkenaan.
Pada 25 Mei lalu, polis mendedahkan nilai rampasan 35 daripada 72 beg dirampas, berisi wang tunai termasuk 25 mata wang asing, mencecah RM114 juta.
Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 284 kotak beg berjenama mewah.
Rampasan itu dibuat pada 18 dan 20 mei lalu, berkaitan siasatan Skandal One Malaysia Development Berhad,(1MDB).
Pada 13 Jun lalu, Datuk Seri Amar Singh menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung rampasan jam tangan bernilai RM80 juta dalam bagasi dirampas, seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa cina.
Laporan itu menyatakan sejumlah 433 utas jam tangan dianggarkan bernilai RM80 juta ditemui dalam baki 37 beg yang dirampas dari kondominium berkenaan.
Bagaimanapun, Datuk Seri Mohd Najib dalam kenyataannya khamis lalu, menjelaskan kebanyakan barang yang dirampas itu adalah hadiah yang diberikan kepada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, serta anak perempuannya dan tiada kaitan dengan 1MDB.
Beliau berkata, menantunya, Daniyar Nazarbayev, anak saudara Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev, juga memberi banyak hadiah kepada Datin Seri Rosmah.
