Kuala Lumpur: Kos tersembunyi merupakan punca sebenar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) mencecah RM110 bilion berbanding kos asal RM55 bilion.
Penjelasan itu dibuat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pada sidang dewan rakyat.
“Seperti biasa, kos yang disebut (ahli Parlimen) Ayer Hitam adalah kos projek yang dikatakan pada RM55 bilion. Tapi dalam banyak perkara, banyak kos tersembunyi yang tidak didedahkan oleh kerajaan terdahulu.
“Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab mendedahkan keseluruhan kos projek ini, sebab itu sekiranya perkara ini tidak dapat dilaksanakan kerana suasana ekonomi, maka kerajaan ambil pendirian untuk bincang supaya semua terma dipatuhi,” katanya menjawab soalan tambahan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam).

Terdahulu, Datuk Seri Azmin menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai aspek yang dikaji kerajaan berikutan penangguhan projek itu.
Katanya, keutamaan kerajaan ialah memastikan sebarang projek pembangunan mesti membawa impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata, semua projek pembangunan perlu dirancang dengan teliti dan mengikut prinsip telus serta dalam kemampuan kewangan negara.
“Berdasarkan perkiraan kos keseluruhan pembinaan HSR yang dijangkakan RM110 bilion dan jumlah ini amat tinggi untuk jajaran 350km. Pada masa ini, kerajaan berusaha mengurangkan bebanan hutang negara yang sudah mencecah RM1 trillion,” katanya.
