JOHOR BAHRU – Bersempena sambutan Hari Malaysia, jenama fesyen tempatan Bayu Somerset terus memperkukuh kehadirannya di selatan tanah air menerusi pembukaan cawangan ke-21 di Pusat Membeli-belah TOPPEN, Johor Bahru.
Lebih istimewa, pembukaan cawangan terbaharu itu turut menjadi platform buat Bayu Somerset meraikan Anak-Anak Johor yang mempunyai kisah perjalanan, pencapaian dan sumbangan tersendiri kepada masyarakat serta negeri yang mereka cintai.
Berlangsung dalam suasana penuh semangat kebersamaan, acara berkenaan turut mengetengahkan elemen budaya tempatan menerusi persembahan tarian tradisional, sesi penghargaan serta pelbagai tawaran dan promosi istimewa sempena pembukaan cawangan baharu.

Inisiatif tersebut turut mengambil sempena ulang tahun kelima Bayu Somerset, sekali gus menjadi simbol kepada perjalanan jenama berkenaan dalam mengembangkan perniagaan fesyen tempatan.
Antara individu yang diraikan ialah pensyarah dan anak kelahiran Batu Pahat, Najwa Latif, yang sebelum ini dikenali menerusi kerjaya seni sebagai penyanyi sejak usia remaja.
Kini, Najwa memilih laluan berbeza dengan menyumbang bakti dalam bidang pendidikan sebagai tenaga pengajar TESL di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Turut menerima penghargaan ialah Wan Harriz Wan Abdul Qayyum, murid Tahun Empat dari Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Johor Bahru yang mengharumkan nama Johor dan Malaysia di peringkat antarabangsa selepas muncul juara Play-Off Qualifier Hippo English Without Borders 2026 di Doha, Qatar.
Bayu Somerset turut meraikan Yusuf Hassan, seorang profesional dalam bidang komunikasi korporat yang mempunyai kepakaran dalam produksi video.

Menerusi hasil kerja kreatif dan lensa kameranya, Yusuf mengetengahkan pelbagai kisah berkaitan organisasi termasuk pengurusan, Ahli Lembaga Pengarah, rakan perniagaan, kerajaan negeri serta masyarakat Johor dan Malaysia.
Karya beliau merangkumi pelbagai genre, daripada kisah kejayaan syarikat dan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat hinggalah kepada kisah budaya, tradisi dan kehidupan masyarakat.
Setiap kisah dirakam dan diolah sebagai medium untuk memperkenalkan keunikan Johor kepada khalayak lebih luas.
Dalam pada itu, Kumpulan Tarian Sanggar Citra Tari turut diberi penghargaan sebagai antara wakil generasi muda yang terus memainkan peranan dalam memastikan seni dan ekspresi budaya tempatan kekal relevan.
Kumpulan berkenaan bukan sahaja aktif menghidupkan seni tradisional menerusi persembahan mereka, malah turut membawa nama Johor ke persada antarabangsa.
Walaupun hadir daripada latar belakang dan bidang berbeza, kesemua penerima penghargaan mempunyai persamaan yang sama masing-masing menyumbang sesuatu kepada negeri Johor menerusi kepakaran, bakat dan usaha mereka.
Bagi Bayu Somerset, sumbangan tersebut tidak semestinya diukur berdasarkan skala pencapaian, sebaliknya setiap usaha dan pengorbanan yang diberikan kepada masyarakat mempunyai nilai tersendiri.
Pengarah Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin, berkata pihaknya berbesar hati kerana dapat menjadikan pembukaan cawangan ke-21 sebagai ruang untuk meraikan Anak-Anak Johor daripada pelbagai latar belakang.
“Kami sangat berbesar hati kerana diberi peluang meraikan pembukaan cawangan ke-21 hari ini bersama Anak-Anak Johor yang diundang khas ke majlis ini.
“Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran berbeza dengan membawa cerita, pengalaman istimewa serta kisah inspirasi yang tersendiri.
“Kejayaan dan sumbangan mereka kepada negeri yang mereka sayangi ini amat kami kagumi. Kami berasa sangat bertuah kerana diizinkan untuk meraikan mereka pada hari yang penuh bermakna serta menjadi titik penting buat Bayu Somerset di TOPPEN Johor Bahru,” katanya.
Sasaran pasaran Singapura dan Indonesia
Dalam masa sama, pembukaan cawangan di TOPPEN turut dilihat sebagai langkah strategik Bayu Somerset untuk mengembangkan pasaran, khususnya dengan mengambil kira kedudukan Johor Bahru sebagai antara destinasi beli-belah yang menjadi tumpuan pelancong dan pengunjung dari luar negara.
Menurut Dania, lokasi Johor Bahru memberi peluang kepada Bayu Somerset untuk memperkenalkan jenama tersebut kepada pelanggan dari Singapura serta Indonesia.
“Kita sedia maklum bahawa Johor Bahru adalah destinasi membeli-belah utama untuk pelanggan, terutamanya dari Singapura dan juga Batam, Indonesia.
“Oleh kerana itu, kami telah bersedia untuk mengaturkan pelan strategik dalam menarik minat mereka kepada jenama kami. Ia sekali gus membuka peluang kepada Bayu Somerset untuk menerokai pasaran antarabangsa,” katanya.
Sempena pembukaan cawangan baharu itu, Bayu Somerset turut menyediakan pelbagai diskaun istimewa serta hadiah eksklusif khusus buat pelanggan, termasuk Anak-Anak Johor, sebagai sebahagian daripada kempen pembukaan dan sambutan Hari Malaysia.

Pembukaan cawangan ke-21 itu bukan sekadar peluasan rangkaian perniagaan Bayu Somerset, malah menjadi simbol kepada lembaran baharu jenama berkenaan di Johor.
Lebih penting, ia menjadi wadah untuk menghargai individu yang mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa, menyumbang kepada komuniti serta memainkan peranan dalam memastikan seni, budaya dan nilai masyarakat Johor terus berkembang.
Bagi Bayu Somerset, setiap sumbangan sama ada besar atau kecil mempunyai tempat dalam kisah pembangunan negeri Johor.
Menerusi pembukaan cawangan terbaharu itu, jenama berkenaan berharap dapat terus menjadi sebahagian daripada perjalanan Anak-Anak Johor dalam mencipta lebih banyak cerita, pencapaian dan inspirasi pada masa hadapan.
