Kuala Lumpur – Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), mengumumkan pelarasan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit berkuat kuasa 1 Januari 2027.
Kenaikan tambang ini merupakan semakan harga pertama yang dilaksanakan bagi kedua-dua perkhidmatan pengangkutan rel berkenaan dalam tempoh sedekad sejak kali terakhir disemak pada tahun 2016.
Bagi perkhidmatan KLIA Ekspres, kadar tambang menyaksikan peningkatan purata sebanyak 20 peratus melibatkan kategori penumpang dewasa serta kanak-kanak berumur antara 6 hingga 15 tahun.
Berikut merupakan struktur kadar tambang baharu bagi perkhidmatan KLIA Ekspres:
| Jenis Tiket | Tambang Dewasa | Tambang Kanak-kanak (6–15 tahun) |
| Satu Hala | RM65.00 | RM29.00 |
| Perjalanan Pergi-Balik | RM118.00 | RM53.00 |
Melalui pelaksanaan kadar baharu ini, tiket perjalanan satu hala KLIA Ekspres ke KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 dinaikkan sebanyak RM10 untuk penumpang dewasa, iaitu daripada RM55 kepada RM65. Bagi kategori kanak-kanak pula, kadar tambang satu hala meningkat daripada RM25 kepada RM29.
Bagi tiket perjalanan dua hala (pergi-balik), tambang dewasa disemak daripada RM100 kepada RM118. Manakala kadar bagi kanak-kanak meningkat daripada RM45 kepada RM53.
Mengimbau rekod sejarah tambang perkhidmatan berkenaan, tambang perjalanan satu hala KLIA Ekspres pernah dikekalkan pada kadar RM35 sepanjang tempoh 2002 hingga 2015 sebelum pelarasan dibuat pada 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Datin Noormah Mohd Noor, menjelaskan pelarasan harga tersebut mencerminkan realiti kos pengoperasian sistem rel berkualiti tinggi dan langkah itu amat diperlukan bagi mengekalkan piawaian perkhidmatan untuk jangka masa panjang.
Dalam perkembangan sama, ERL memaklumkan pihak syarikat sedang bekerjasama rapat dengan rakan strategik bagi meneroka tawaran diskaun tiket eksklusif sehingga 30 peratus bermula tahun hadapan. Pengumuman lanjut berhubung inisiatif diskaun itu akan dimaklumkan sebaik sahaja perancangan dimuktamadkan.
Bagi perincian kenaikan kadar tambang melibatkan perkhidmatan rel henti-henti KLIA Transit, anda disarankan untuk merujuk laman rasmi penetapan tambang ERL.
