KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan berbincang dengan pembekal telur untuk mencari penyelesaian bagi mengatasi kenaikan harga telur dalam pasaran selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan 1 September lalu.
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini berdasarkan respon dan pemerhatian yang dibuat olehnya dalam tempoh tersebut menunjukkan telur mengalami kenaikan harga yang lebih tinggi berbanding 30 produk utama lain yang dikecualikan cukai tersebut.
Bagaimanapun bagi produk utama yang lain, antaranya, minyak dan tepung menyaksikan harga yang masih stabil dan tiada banyak perbezaan, ujar beliau.
“Jadi, kita berharap dapat memanggil pembekal-pembekal ini dan berbincang dengan mereka supaya jalan penyelesaian dapat dicari untuk mengelakkan kenaikan harga yang lebih tinggi.
“Dalam masa sama, kami juga mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk membantu kami (kementerian) sekiranya terdapat peniaga menaikkan harga barang secara melampau supaya langkah penguatkuasaan menjadi lebih efisien,” katanya selepas perasmian pusat pengagihan segar GCH Retail (M) Sdn. Bhd. (GCH) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi GCH, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar; Pengarah Urusannya, Pierre-Olivier Deplanck dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh.
Baru-baru ini, dalam satu temu bual, Saifuddin mengakui harga telur gred B dan C meningkat selepas SST dilaksanakan.
Telur gred tersebut merupakan antara 25 barangan harian yang paling banyak dibeli oleh pengguna di pasar raya di seluruh negara.
Mengenai status Kedai Rakyat 1Malaysia, beliau berkata, kementerian akan melancarkan semula inisiatif tersebut yang ketika ini mempunyai 51 kedai yang dikendalikan menerusi dua rakan niaga.
