IPOH: Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya yang meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini, jam 8.45 pagi tadi.
Jenazah Mohd Zahir dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan dalam suasana sayu dan pilu dengan dihadiri kira-kira 2,000 tetamu termasuk ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan terdekat.
Kelihatan beberapa ahli keluarga dan rakan seperjuangan Mohd Zahir sebak dan mengalirkan air mata sebaik sahaja jenazah selamat disemadikan.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke tanah perkuburan berkenaan dari kediaman ibu mentuanya di Taman Perpaduan, di sini pada jam 7.45 pagi.
Sebelum itu, jenazah Mohd Zahir dibawa keluar dari Masjid Al Fatih, Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur pada jam 2.23 pagi tadi dengan disolatkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan (TKPP), Brigadier Jeneral Datuk Mustafa Abdul Manap sebelum dibawa ke Ipoh.
