Shah Alam – Sektor makanan dan minuman menjana RM18 juta nilai pelaburan selain membuka 50,000 peluang pekerjaan di negeri ini, kata EXCO pelaburan.
Dato’ Teng Chang Khim berkata kejayaan itu didorong polisi Kerajaan Negeri yang membuka ruang kepada syarikat pembuatan mengeksport produk itu ke seluruh dunia.
“Paling membanggakan apabila usahawan industri kecil dan sederhana meningkat setiap tahun.
“Usahawan mikro produk makanan dan minuman memberi impak memacu pertumbuhan ekonomi sehingga sektor tersebut menjadi kluster kelima terpenting di Selangor,” katanya pada Program ‘Pocket Talk: Industri Makanan dan Minuman Selangor 2020 di Hotel Concorde di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Central Spectrum (M) Sdn Bhd Mohamad Razif Abdul Wahab.
Sementara itu, Chang Khim berkata Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 14 hingga 17 Oktober depan menyasarkan transaksi perniagaan bernilai RM350 juta.

Katanya, acara empat hari itu membabitkan penyertaan lebih 800 pempamer dan dijangka menerima 40,000 pengunjung.
“SIBS 2020 meliputi empat acara besar iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor.
“Acara sampingan termasuk Pameran Kopi & Teh Antarabangsa Malaysia, Persidangan Halal Antarabangsa Selangor dan Festival Kulinari Selangor,” katanya.

Teng berkata setakat ini, sebanyak 40,000 usahawan mikro berdaftar dengan HIJRAH Selangor dan diharap inisiatif tersebut dapat membantu mereka melonjakkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi khususnya dalam industri halal pada masa depan.
Sasar 2,000 usahawan mikro peroleh sijil halal melalui program IMFAN
Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 usahawan mikro di negeri ini akan memperoleh pensijilan halal menjelang akhir tahun ini melalui penyertaan dalam program International Muslim Friendly Affiliated Network (IMFAN).
IMFAN merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Halal International Selangor dengan kerjasama HIJRAH Selangor untuk membantu usahawan mikro memperoleh pensijilan halal pada peringkat awal perniagaan menerusi modul tertentu.

Langkah itu untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka berkaitan industri tersebut.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri, Datuk Teng Chang Khim berkata inisiatif itu diharap dapat dimanfaatkan oleh golongan usahawan mikro di Selangor memandangkan proses untuk memperoleh pensijilan halal yang agak ketat.
“Kita melihat usahawan mikro sering menghadapi masalah untuk memperoleh pensijilan halal kerana prosesnya yang agak ketat dan memerlukan yuran yang banyak. Oleh itu, menerusi IMFAN, usahawan mikro akan dibantu menerusi lima peringkat penarafan.

“Setiap peringkat penarafan itu pula, peserta perlu mematuhi standard yang ditetapkan dan IMFAN akan memberi logo tertentu untuk produk mereka sebagai tanda mereka telah melepasi tahap tertentu.
“Dengan cara ini, pengguna juga akan berasa lebih yakin dengan produk tersebut sehinggalah mereka mendapat sijil halal sebenar,” katanya pada sidang media selepas melancarkan inisiatif IMFAN pada majlis ‘Pocket Talk Programme: Selangor Food and Beverages Industry 2020’ di sini, hari ini.
