PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Menteri Kanan, Datuk Seri Azmin Ali akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet jika Perdana Menteri tiada dalam negara.
Perdana Menteri berkata, kedudukan semua empat Menteri Kanan adalah setaraf.
“Jika saya tiada, Azmin akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet. Jika Azmin tiada, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan mempengerusikannya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama beliau di sini, hari ini.
Azmin adalah seorang daripada empat yang dilantik Menteri Kanan. Beliau menjawat portfolio Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Ismail Sabri (Menteri Pertahanan); Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Dengan pelantikan empat Menteri Kanan, buat kali pertama Kabinet Malaysia tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
