KEMENTERIAN Pertahanan bersedia menggerakkan aset tentera untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara terutama di Itali selepas penularan wabak Covid-19 yang dikategorikan pandemik.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam keadaan bersiap-sedia sekiranya diperlukan untuk misi kemanusiaan.
“Kami menunggu arahan Kabinet sekiranya mahu menggunakan pesawat kita, InsyaAllah,” katanya dalam sidang media di Wisma Pertahanan, Jalan Semarak, di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, sebarang tindakan hanya dapat diputuskan apabila kerajaan membuat keputusan sama ada untuk membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara.
“Hari ini saya juga dipanggil menghadiri mesyuarat jawatankuasa menangani Covid-19 dipengerusikan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.
Setakat hari ini, Itali mencatatkan angka kematian akibat Covid-19 melepasi 1,000 orang dengan 15,113 kes wabak itu direkodkan di negara berkenaan.
Menurutnya, setakat hari ini tiada anggota dan pegawai tentera yang positif Covid-19.
“Kita bersiap sedia dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menasihatkan anggota tentera mengambil langkah berjaga-jaga menggunakan sanitizer (pembasmi kuman) dan memakai penutup hidung dan mulut.
“Anggota tentera ini senang, mereka tak salam, hanya tabik, mungkin sukar nak ada kontak,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semua siasatan membabitkan Kementerian Pertahanan yang dibuat kerajaan terdahulu akan diteruskan seperti biasa.
“Semua siasatan akan dilaksanakan seperti biasa,” katanya.
