Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan warga Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja, tidak lagi boleh berbuat demikian mulai esok hingga 31 Mac ini.
Ia selepas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan perintah kawalan pergerakan, yang antara lain turut melarang warga Malaysia ke luar negara.
“Tidak dibenarkan bermula esok hingga 31 Mac,” kata Khairul.
Penjelasan itu menjawab persoalan yang dibangkitkan berkenaan warga Malaysia yang tinggal di Johor dan bekerja di Singapura.
Warga Malaysia dilarang ke luar negara manakala mereka yang pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela.
Premis kerajaan dan swasta juga dijangka ditutup bermula esok, kecuali perkhidmatan penting seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
