KUALA LUMPUR – Semua perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah seluruh mahkamah di negara ini sepanjang tempoh 18 Mac hingga 31 Mac ini ditangguhkan dan penetapan tarikh yang baharu akan dimaklumkan kemudian.
Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berkata penetapan tarikh perbicaraan dan pendengaran yang baharu akan dimaklumkan kemudian.
Ahmad Terrirudin berkata, bagi mahkamah yang menggunakan sistem e-Kehakiman, pemfailan kes sivil baharu dan notis rayuan dan dokumen akan berjalan seperti biasa melalui sistem e-Filing.
Beliau berkata, bagi mahkamah yang tidak mempunyai sistem eKehakiman, pemfailan kes-kes sivil baharu dan dokumen-dokumen akan hanya diterima mulai 1 April 2020
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan Perintah Kawalan Perjalanan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac ini bagi membendung penularan COVID-19.
Perintah kawalan selama 14 hari itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, selain semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
