AGROBANK menawarkan penstrukturan dan penjadualan semua pembiayaan serta penangguhan pembayaran balik pembiayaan sehingga tempoh enam bulan.

Ini adalah bagi membantu pelanggannya yang terjejas berikutan penularan Covid-19.

Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pelepasan pembiayaan akan disediakan untuk pelanggan perniagaan bank termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta individu yang terjejas dengan situasi ini di mana ia akan dinilai bergantung kepada kes.

“Kami yakin menerusi langkah bantuan yang disediakan dan ditambah dengan pakej rangsangan RM20 bilion yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan membawa prospek yang lebih baik untuk pertumbuhan ekonomi yang berterusan di Malaysia,” katanya.

BNM memperuntukkan RM3.3 bilion untuk membantu IKS meneruskan kesinambungan operasi perniagaan mereka, melindungi pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik menerusi Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Agromakanan dan Kemudahan Automasi dan Digitalisasi IKS.

Menurutnya, ketiga-tiga kemudahan ini disediakan oleh institusi kewangan yang terpilih termasuklah Agrobank.

Agrobank bertindak secara proaktif dan telah mengenal pasti pelanggan yang terbabit dan layak untuk menerima pakej rangsangan ini.

“Walaupun impak Covid-19 kepada manusia dan ekonomi masih belum diketahui secara keseluruhannya, pada peringkat ini, fokus kami adalah untuk membantu menangani impaknya kepada pelanggan, kakitangan, komuniti dan rakan perniagaan kami,” katanya.

Selain itu, bank juga bersedia memanjangkan tempoh matang pembiayaan perdagangan dan pembiayaan modal kerja untuk membantu pengusaha melindungi pekerjaan, mengatasi masalah aliran tunai dan memastikan kesinambungan perniagaan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading