KUALA LUMPUR- Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan negatif jangkitan COVID-19 hasil ujian dijalankan pihak berkuasa kesihatan hari ini.
Pegawainya mengesahkan, bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun masih menjalankan kuarantin sendiri selama 14 hari sebagai langkah pencegahan seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Ya Tun (Dr Mahathir) negatif COVID-19, tetapi masih kuarantin diri selama 14 hari,” katanya ringkas kepada BH, hari ini.
Ahli Parlimen Langkawi itu membuat ujian pada 17 Mac lalu dan menjalani kuarantin secara sukarela sejak Rabu lalu selepas bergambar dengan seorang individu yang disahkan positif COVID-19.
Dr Mahathir, 95, dipercayai bertemu dan mengambil gambar dengan seorang individu dari Sarawak yang disahkan positif COVID-19 pada 2 Mac lalu.
Semalam, melalui akaun Instagramnya Dr Mahathir mengingatkan semua pihak yang berada di rumah tetap belajar menerusi medium internet.
“Apa yang boleh buat di rumah. Untuk mempelajari ilmu dan sebagainya, kita tidak perlu ke sekolah atau universiti, kita boleh belajar dari rumah melalui internet dan sebagainya,” katanya.
