KUALA LUMPUR – Atas rasa prihatin, Ma’ahad Tahfiz Ismail mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kepada barisan hadapan yang berkorban membendung penularan penyakit COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bantuan berupa makanan itu disampaikan kepada pihak hospital di Kompleks Ma’ahad Tahfiz Ismail, Bukit Cerakah, Selangor, semalam.

Program tersebut dihadiri YBhg. Dato’ Mat Hairi Ismail, Pengarah Ma’ahad Tahfiz Ismail (MTI), Encik Azlan Shah Tan Sri Rozali Ismail, Lembaga Pengelola, Ma’ahad Tahfiz Ismail (MTI) serta YBhg. Dato’ Dr. Mohd Zainul Fithri Othman, Lembaga Pengelola, Ma’ahad Tahfiz Ismail (MTI).
Dapur MTI yang mempunyai tukang masak dan pembantu dapur serta kelengkapan peralatan dapur telah mengambil inisiatif untuk memasak makanan tengahari dan makan petang yang juga dibantu oleh kakitangan MTI dan Masjid Puncak Alam. Usaha ini adalah bertujuan mengurangkan beban dan turut bersolidariti bersama
barisan hadapan negara yang kini gigih berjuang menyelamatkan nyawa dan membendung penularan wabak yang membawa maut ini.
Aktiviti penghantaran pek makanan ini telah bermula sejak 20 Mac 2020 lalu di mana pihak dapur MTI telah menghantar sebanyak 50 pek makanan ke setiap lokasi iaitu ke Hospital Sungai Buluh, Hospital UiTM Sungai Buloh dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Manakala sehingga 31 Mac 2020, pihak dapur MTI telah menambah dua lokasi baru iaitu Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur menjadikan jumlah keseluruhan pek makanan yang diagihkan ke lima lokasi tersebut ialah sebanyak 250 pek sehari.

Pihak Pengurusan Maahad Tahfiz Ismail membelanjakan lebih kurang RM 8,000.00 sehari bagi penyediaan makanan untuk para wira serta barisan hadapan negara yang sentiasa berkorban nyawa dan masa dalam memutuskan rantaian virus Covid-19 yang kian menular.
Setakat ini para pelajar Maahad Tahfiz Ismail masih bercuti di kampung setelah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia memutuskan Perintah Kawalan Pergerakkan yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Pihak tahfiz juga dimaklumkan oleh ibu bapa, setakat ini tiada laporan mengenai para pelajar Maahad Tahfiz Ismail yang positif virus ini.
