Putrajaya – HeiTech Padu Berhad (HeiTech), penyedia perkhidmatan ICT tempatan hari ini menyerahkan sumbangan bernilai RM1.1 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu KKM menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Sumbangan tersebut merangkumi penyediaan Sistem Electronic Medical Record (EMR) untuk Hospital Sementara COVID-19 di MAEPS Serdang bernilai RM1juta manakala RM100ribu disumbangkan kepada Tabung Barisan Hadapan (Frontliners) KKM.
Sumbangan HeiTech disampaikan oleh YBhg Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib, Presiden & Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech kepada YB Datuk Seri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia. Hadir sama Encik Abdul Halim Md. Lassim, Naib Presiden Eksekutif HeiTech.
Dato’ Sri Mohd Hilmey berkata sumbangan itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial HeiTech untuk menyokong saranan dan inisiatif kerajaan lebih-lebih lagi ketika berdepan waktu sukar.
“Sumbangan ini adalah sebagai tanda sokongan dan penghargaan HeiTech kepada usaha kerajaan dan pengorbanan barisan hadapan yang telah bertungkus lumus memerangi wabak COVID-19,” ujar Dato’ Sri Mohd Hilmey.
“Kami juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, pasukan keselamatan dan semua pihak yang terlibat atas kerja keras dan pengorbanan mereka demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kita,” tambah beliau.
