KUALA LUMPUR – Status operasi bazar Ramadan di ibu negara akan diketahui selewat-lewatnya minggu depan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan taklimat khas berkaitan itu esok.
“Akan diumumkan selewat lewatnya 16 Syaaban (Jumaat minggu depan). Esok ada taklimat khas.
“Lepas itu baru umum. Banyak perkara yang perlu di beri perhatian,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini.
Beliau menjawab persoalan pengguna media sosial yang mahu tahu sama ada pihaknya akan membenarkan penganjuran bazar Ramadan di Kuala Lumpur tahun ini, ketika kebimbangan berhubung penularan COVID-19 masih belum reda.
Beliau juga berkata, peniaga dan penjaja tidak perlu mengharapkan penganjuran bazar Ramadan seperti tahun sebelumnya.
“Kalau peniaga dan penjaja di bulan puasa masih membayangkan mahu berniaga dalam suasana ‘bazar’ seperti dulu, mereka bolehlah melupakannya.
“Sekiranya tiada lagi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sekalipun, perniagaan gerai gerai pada April, Mei perlu mematuhi garis panduan baharu berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kebenaran operasi bazar Ramadan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam sidang medianya hari ini berkata, perkara itu akan dipertimbangkan mesyuarat selepas mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan.
Katanya, pada masa ini keputusan kerajaan negeri dan mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti diputuskan DBKL adalah cadangan dan pandangan mereka sendiri.
