PUTRAJAYA – Lembah Pantai menjadi kawasan paling tinggi dilanda wabak COVID-19 dengan 322 kes dicatatkan sehingga 12 tengah hari semalam, berdasarkan info grafik yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia Malaysia (KKM).

Menerusi perkongsian berkenaan, Hulu Langat menjadi kawasan kedua tertinggi dengan 302 kes diikuti Petaling sebanyak 292 kes; Seremban (141 kes); Johor Bharu (136 kes) dan Kluang sebanyak 132 kes dengan kesemua kawasan ini sudah diklasifikasikan sebagai zon merah.

Zon merah diklasifikasikan di sesuatu kawasan apabila terdapat lebih daripada 41 kes direkodkan.

Bagi gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini, sebanyak 15 kawasan sudah dikategorikan sebagai zon merah antaranya Kinta di Perak sebanyak 82 kes, Hilir Perak sebanyak 61 kes; Gombak (76 kes); Klang (88 kes); Kepong (100 kes) dan Titiwangsa (84 kes).

Selain itu, di Johor sebanyak tiga daerah dikategorikan sebagai zon merah iaitu Batu Pahat dengan 48 kes, Johor Baharu sebanyak 136 kes dan Kluang sebanyak 132 kes.

Pahang dan Kelantan masing-masing merekodkan satu daerah yang sudah dikategorikan zon merah iaitu Jerantut sebanyak 41 kes dan Kota Bharu sebanyak 82 kes.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, pada gelombang kedua COVID-19, Selangor mencatatkan sebanyak 600 kes dan penyumbang tertinggi bagi kes berkenaan adalah dari daerah Hulu Langat.

Beliau berkata, faktor utama jangkitan di daerah itu disumbangkan oleh sekolah dan madrasah agama tahfiz yang ada di situ serta ada di antara individu yang didapati positif di daerah berkenaan disebabkan menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, bulan lalu.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading