KUALA LUMPUR – Syarikat e-dompet tempatan, Boost telah tersenarai sebagai syarikat yang paling cepat berkembang di Asia Pasifik oleh International Data Corporation (IDC) Financial Insights’ 2020 FinTech Fast 101.
IDC Financial Insights Asia/Pacific FinTech Fast 101 merupakan satu senarai yang menggariskan syarikat teknologi kewangan (fintech) yang paling cepat berkembang di Asia Pasifik daripada segi kewujudan, utiliti dan kegunaan.
Boost telah dicalonkan dalam senarai IDC Financial Insights Asia Pacific FinTech Fast 101 berdasarkan kepada analisis peserta fintech merentasi 11 pasaran utama di rantau Asia Pasifik.
“Kami berbangga dan berbesar hati selepas diiktiraf sebagai salah satu daripada peserta fintech yang paling cepat berkembang oleh IDC. Ini adalah bukti kepada komitmen dan ketabahan kami dalam merevolusikan cara pengguna berurusan secara harian khususnya dalam penyelesaian cabaran membabitkan tunai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Khairil Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah dengan inisiatif e-Tunai Rakyat yang diperkenalkan baru-baru ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat tersebut dijangka akan terus berkembang bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
Boost sedang bersedia untuk terus mencapai pertumbuhan pesat kerana syarikat itu melihat semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada tanpa tunai susulan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang meminta orang ramai menggunakan kaedah pembayaran tanpa sentuh seperti e-dompet untuk membendung penyebaran COVID-19.
Beliau berkata, Boost telah menerajui dan membina landskap pembayaran tanpa tunai yang kukuh di Malaysia.
“Sebahagian daripada yang pertama dalam industri yang dibangunkan Boost termasuk penyediaan pembayaran mudah membabitkan perkhidmatan kesihatan awam, bayaran insurans, tempat letak kereta dan e-derma, termasuk ‘Tabung COVID-19 oleh Boost’ bagi membantu petugas barisan hadapan serta keluarga yang terjejas akibat pandemik itu,” kata Mohd Khairil.
Diasaskan pada Januari 2017, Boost, e-dompet oleh rakyat Malaysia, telah mengetuai perubahan masyarakat tanpa tunai di negara ini. Dalam masa tiga tahun, ia mempunyai lebih 7.3 juta pengguna dan lebih 152,000 peniaga di seluruh negara, secara dalam talian atau fizikal.
