IMG_20261120_220833

PETALING JAYA – Jenama penjagaan kulit tempatan, Bartech Beautee, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri kecantikan selepas meraih dua pengiktirafan menerusi Superbrands Malaysia’s Choice 2026 dan Nona Gala Awards 2026.

Kejayaan itu bukan sahaja menjadi pencapaian penting buat syarikat berkenaan, malah membuka ruang untuk Bartech Beautee memperluaskan perniagaan ke pasaran antarabangsa dengan menyasarkan Singapura, Indonesia dan Brunei sebagai destinasi pengembangan seterusnya.

Pengasas Bartech Beautee, Nurul Adlinna Mohammad Bakri atau lebih dikenali sebagai Kak Lin berkata, pengiktirafan berkenaan menjadi pemangkin kepada syarikat untuk terus menghasilkan produk penjagaan kulit berkualiti serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama tempatan.

Menurutnya, anugerah Nona Gala Awards 2026 menerusi kategori Nona Excellence in Pigmentation & Melasma Care Award, selain pengiktirafan Superbrands Malaysia’s Choice 2026, membuktikan usaha berterusan syarikat dalam memenuhi keperluan pengguna.

“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada jenama, tetapi juga satu usaha untuk meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk kami.

“Pengiktirafan Superbrands bukan mudah diperoleh. Kami pernah mencuba dua tahun lalu, namun tidak berjaya. Alhamdulillah, tahun ini Bartech Beautee akhirnya mendapat pengiktirafan tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah berkenaan.

Mengulas prestasi perniagaan, Kak Lin berkata, syarikat mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 200 peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya, malah sudah menyamai rekod jualan keseluruhan 2025 meskipun tahun ini masih belum berakhir.

Lebih membanggakan, Bartech Beautee turut mengumpulkan lebih 300,000 testimoni pengguna sehingga November ini, sekali gus mencerminkan penerimaan positif terhadap rangkaian produk penjagaan kulit keluarannya.

Dalam usaha memperkukuh penawaran produk, syarikat itu merancang memperkenalkan rangkaian penjagaan kulit yang lebih menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada masalah pigmentasi dan jeragat.

Ketua Pegawai Operasi Bartech Empire Sdn. Bhd., Shaharuddin Abdul Karim berkata, antara produk yang mendapat sambutan tinggi ialah krim gel pemutih yang mencatatkan jualan memberangsangkan sehingga menjadi antara produk paling laris syarikat.

Menurutnya, Bartech Beautee turut meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi platform Bartech AI yang membolehkan pengguna menjalankan analisis keadaan kulit wajah secara dalam talian.

Katanya, platform itu yang sudah mula digunakan orang ramai merekodkan sebanyak 5,000 data imbasan wajah, sekali gus menawarkan kemudahan kepada pengguna untuk mengenal pasti keadaan kulit tanpa perlu mendapatkan khidmat penilaian di klinik estetik yang lazimnya melibatkan kos lebih tinggi.

“Menerusi sistem ini, pengguna hanya perlu mengimbas wajah untuk mengenal pasti keadaan kulit sebelum menerima cadangan produk yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Kak Lin berkata, matlamat utama syarikat bukan sekadar memasarkan produk kecantikan, sebaliknya membantu pengguna mendapatkan penyelesaian penjagaan kulit yang sesuai dengan keadaan kulit masing-masing.

Jelasnya, jualan menerusi sistem berkenaan turut menunjukkan perkembangan positif apabila meningkat tiga kali ganda pada bulan ini berbanding bulan sebelumnya.

Bagi memperluas capaian pasaran, Bartech Beautee turut merancang memperkukuh pemasaran digital menerusi kerjasama lebih erat dengan platform TikTok, selain mempelbagaikan saluran jualan melalui laman web rasmi dan platform e-dagang lain.

Pengguna yang membuat pembelian berulang juga digalakkan mendapatkan produk menerusi laman web rasmi syarikat bagi menikmati tawaran harga yang lebih menjimatkan.

Selain itu, syarikat berkenaan merancang menambah baik formulasi produk sedia ada serta memperkenalkan rangkaian baharu dengan keberkesanan yang lebih optimum bagi memberikan nilai tambah kepada pengguna.

Kak Lin berkata, pihaknya turut menyasarkan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) tahun depan bagi membuka lebih banyak peluang pengembangan perniagaan, khususnya ke pasaran luar negara.

Dalam perkembangan lain, Bartech Beautee juga merancang memasuki segmen kosmetik dengan memberi perhatian kepada keperluan pengguna yang mempunyai kulit sensitif serta masalah pigmentasi.

Bagaimanapun, pembangunan produk baharu itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta permintaan pasaran.

Menjelang Ramadan dan Aidilfitri, syarikat itu turut merancang melancarkan kempen kecantikan bertemakan ‘Cantik Sebelum Raya’ bagi menggalakkan pengguna berkongsi pengalaman serta perjalanan penjagaan kulit masing-masing menerusi penghasilan video.

Sebagai menghargai sokongan pelanggan, Bartech Beautee turut merancang menaja sekurang-kurangnya dua pelanggan terpilih untuk menunaikan umrah pada Jun tahun depan.

Kak Lin berkata, kejayaan meraih dua pengiktirafan berkenaan adalah hasil komitmen dan kerja keras seluruh pasukan yang bersama-sama membangunkan jenama itu sejak awal penubuhannya.

Beliau menegaskan, fokus utama Bartech Beautee sejak mula beroperasi bukanlah mengejar anugerah, sebaliknya membantu wanita yang berdepan masalah jeragat dan pigmentasi mendapatkan semula keyakinan diri menerusi penjagaan kulit yang bersesuaian.

Leave a Reply