PUTRAJAYA – Pelajar, guru dan pensyarah bakal menerima diskaun 20 peratus bagi tiket penerbangan dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) untuk penerbangan domestik ke sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara, berikutan sesi pembelajaran yang akan bermula.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata diskaun berkenaan diberikan untuk tempoh tertentu bagi perjalanan pulang semula ke sekolah atau IPT masing-masing.
Katanya, sebelum ini Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memanggil Suruhanjaya Penerbangan Malaysia untuk membentangkan isu mengenai harga tiket penerbangan yang dianggap masih tinggi.
“Mesyuarat mencadangkan dapat diberikan harga istimewa kepada pelajar, guru dan pensyarah kerana mereka terpaksa pulang semula ke tempat kerja dan sekolah atau IPT masing-masing.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kerana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines bersama dua pegawainya datang berjumpa saya untuk mengadakan perbincangan dan makluman mengenai perkara itu.
“Hasil daripada perjumpaan itu saya dimaklumkan bahawa Malaysia Airlines bersetuju memberi tawaran promosi iaitu yang pertama diskaun 20 peratus kepada guru dan pensyarah IPT awam serta swasta bagi perjalanan domestik,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas
Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan PKP, di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, tarikh tempahan untuk tiket berkenaan adalah antara 9 Julai hingga 10 Ogos bagi perjalanan antara 10 Julai hingga 30 November 2020.
Beliau berkata, diskaun itu boleh diperolehi melalui tempahan yang dibuat secara dalam talian dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kelak.
Katanya, bagi pelajar pula, diskaun 20 peratus juga akan diberikan kepada pelajar melalui program MH Explorer yang boleh diperolehi mereka dengan menjadi ahlinya, melalui laman web Malaysia Airlines.
“Diskaun pelajar ini akan terus dinikmati sehingga 30 November 2020 atau tamat tempoh keahlian mengikut syarat MH Explorer. Saya ingin ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan Malaysia Airlines Berhad atas persetujuan untuk memberikan diskaun kepada pensyarah, guru dan pelajar.
“Saya harap syarikat penerbangan lain boleh turut serta menurunkan harga tiket penerbangan ini,” katanya.
