Terkini

Yayasan Peneraju perbaharui kerjasama dengan ACCA, beri tajaan kepada 1,000 Akauntan Profesional

Kuala Lumpur – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan
Peneraju), memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Association of
Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk terus meningkatkan bilangan Bumiputera
yang memiliki kelayakan Akauntan Bertauliah.


Perjanjian pembaharuan MOU itu ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin dan Ketua Negara ACCA Malaysia, Edward Ling,
disaksikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) melalui platform maya memandangkan wabak
Covid-19 masih lagi belum ditangani sepenuhnya.


Pembaharuan MOU tersebut merupakan kesinambungan dari kerjasama tiga tahun yang
pertama kali ditandatangani pada 2017 bertujuan untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan
keberkesanan bakat Bumiputera di Malaysia melalui program pensijilan perakaunan
profesional.


Datuk Seri Mohd Redzuan berkata jalinan kerjasama seperti ini sangat penting dalam
mempersiapkan pelajar kita untuk membina kerjaya cemerlang di bidang perakaunan dan
kewangan seterusnya membantu membuka jalan ke arah negara maju dan berpendapatan
tinggi menjelang 2030 sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV2030).


Beliau turut menyatakan kerajaan mengambil perhatian terhadap penyertaan Bumiputera
yang masih rendah dalam sektor pekerjaan berkemahiran tinggi dan profesional. Ia realiti
sebenar yang berlaku terutamanya dalam kumpulan profesion berpendapatan tinggi seperti
akauntan profesional.


“Perakaunan adalah salah satu bidang utama yang kurang diberi perhatian di negara ini.
Sektor awam dan swasta perlu bekerjasama untuk memastikan permintaan yang didorong
oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan stabil dapat dipenuhi,” tambah beliau.

Inisiatif ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk memupuk dan mengembangkan bakat baru
untuk memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan juga meningkatkan
penyertaan Bumiputera dalam sektor pekerjaan berpendapatan tinggi.

Di bawah kerjasama sebelum ini, seramai 1,639 pelajar menerima tajaan
untuk mengikuti kelayakan ACCA dan program ini membuahkan hasil positif
menerusi 37 pemenang Hadiah Dunia ACCA dan 11 pemenang Hadiah No.1 Dunia ACCA.

Pembaharuan perjanjian ini menyaksikan 1,000 lagi pelajar akan ditaja untuk memenuhi
impian mereka menjadi akauntan profesional pada masa akan datang.


Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin berkata,
“Perakaunan adalah salah satu bidang yang menjadi tumpuan kami dan melibatkan
pelaburan yang besar sejak 2012. Jalinan kerjasama dengan ACCA selama ini menyaksikan
pelbagai usaha telah kami jayakan bersama untuk meningkatkan bilangan akauntan
profesional Bumiputera di Malaysia.


“Sejajar peredaran masa, kita menyedari bahawa ramai pelajar Malaysia yang memiliki
potensi di bidang akademik tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya
kekangan kewangan. Pembiayaan pendidikan seperti ini dilihat sebagai agen perubahan
yang mampu memberikan peluang pendidikan yang dapat membantu mewujudkan masa
depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” tambah Mohd Ariff Ithnin.


Ketua Negara ACCA Malaysia, Edward Ling berkata, “Kami berbangga dengan komitmen
kami terhadap Malaysia dan sumbangan yang telah kami berikan selama lebih 80 tahun.
Kerjasama dengan Yayasan Peneraju merupakan manifestasi kepada komitmen berterusan
kami dalam mengembangkan profesion perakaunan di Malaysia.

Inovasi yang telah kami
lakukan untuk kelayakan ACCA begitu besar dan berdasarkan penyelidikan menyeluruh
mengenai kemahiran yang diperlukan oleh majikan di peringkat nasional, serantau dan
global – dari sekarang hingga 2025 dan seterusnya.”


Sejak ditubuhkan pada tahun 2012, Yayasan Peneraju telah memperkenalkan pelbagai
program tajaan merangkumi program pensijilan akademik, TVET dan profesional termasuk
program perakaunan yang disesuaikan dengan pelbagai tahap kemasukan bermula dari
lepasan SPM hingga pelajar universiti dan juga golongan profesional yang sedang bekerja.

Setakat ini, Yayasan Peneraju telah merealisasikan aspirasi lebih daripada 30,000 penerima
faedah dari seluruh Malaysia melalui 261 program pembiayaannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: