KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO akan mengemukakan cadangan kepada pucuk pimpinan parti itu agar tidak meletakkan calon untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah dan mengambil kira situasi terkini kes baharu pandemik COVID-19.
Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Pemuda UMNO berpandangan bahawa situasi terkini pandemik tanpa vaksin itu semakin meningkat di Sabah sehingga boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan rakyat.
“Pemuda UMNO percaya sudah tiba masanya untuk ahli-ahli politik melangkaui sempadan parti dapat bersoladiriti dan menzahirkan jiwa besar mengetepikan perbezaan dan persengketaan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya baru-baru ini mengumumkan bahawa satu pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt lepas dipercayai akibat jangkitan paru-paru.
Asyraf Wajdi berkata tumpuan perlu diberikan kepada usaha membendung pandemik COVID-19 daripada terus merebak selain membantu rakyat meringankan beban dihadapi mereka dalam menghadapi kehidupan seharian.
“Rakyat terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang tiada berkesudahan,” katanya.
