Kuala Lumpur – Majikan masih boleh membenarkan 10% daripada pekerja untuk bekerja di pejabat namun dihadkan selama 4 jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk 3 hari seminggu bagi mengurangkan penularan pandemik Covid-19, kata Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali.
Menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) berkata 10% pekerja yang dibenarkan ini merangkumi antaranya tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi komunikasi maklumat.
Syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini. Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB.
Majikan perlu menetapkan garis panduan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing.
