Politik

Pengurusan kes kehadiran pihak ketiga untuk tuntut harta Najib, 17 lain ditetap 11 Nov

KUALA LUMPUR – Pengurusan kes bagi kehadiran pihak ketiga berkepentingan yang ingin menuntut harta berupa ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan serta 27 buah kereta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta 16 pihak lain, ditetapkan 11 Nov ini.

Peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib ketika dihubungi berkata, sekiranya tiada mana-mana pihak ketiga tampil membuat tuntutan, mahkamah akan meneruskan kes tersebut dengan menetapkan tarikh perbicaraan.

Pengurusan kes yang sebelum ini ditetapkan hari ini di Mahkamah Tinggi di sini telah dilapangkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dilanjutkan dari 27 Okt sehingga 9 Nov.

Mengulas lanjut, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berkata pihak pendakwaan sebelum ini meminda notis usul permohonan pelucutan hak terhadap harta-harta tersebut berikutan terdapat pembetulan dalam notis usul asal, dan berikutan itu mahkamah sekali lagi telah mengeluarkan warta notis yang ditandatangani oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagi kehadiran pihak ketiga berkepentingan ke mahkamah.

“Pada 26 Okt lepas sepatutnya sebutan untuk kehadiran mana-mana pihak ketiga yang ingin menuntut harta sitaan kes ini (berdasarkan notis usul terpinda). Memandangkan PKPB, tarikh ditunda pada hari ini dan sebutan hari ini dilapangkan kepada 11 Nov,” katanya menerusi Whatsapp.

Permohonan pengeluaran notis untuk pihak ketiga itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membolehkan pihak ketiga hadir ke mahkamah secara sendiri atau melalui peguam bagi memberikan tunjuk sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Dalam notis usul itu, Pendakwa Raya menamakan Najib; Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib; Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib); Mohd Kyizzad Mesran; Senijauhar Sdn Bhd; Aiman Ruslan; Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho); Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: