KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menubuhkan Kumpulan Wang COVID-19 dengan suntikan fiskal sebanyak RM45 bilion bagi memastikan pelaksanaan program dan projek di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi yang lebih teratur.
Tabung tersebut ditubuhkan dengan tempoh kuatkuasa selama tiga tahun yang akan berakhir pada 31 Disember, 2022, kata Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Fiskal 2021 yang dikeluarkan hari ini.
“Peruntukan bagi program dan projek di bawah Kumpulan Wang ini boleh dibelanjakan sepanjang tempoh tersebut.
“Langkah ini membolehkan program dan projek di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman dalam negeri,” kata laporan itu.
Menurut laporan itu, pindahan peruntukan antara program dan projek dibenarkan dalam had yang diberi iaitu RM45 bilion dan sekiranya terdapat keperluan untuk program baharu atau peruntukan tambahan, kerajaan perlu membuat pindaan ke atas Jadual kepada Akta COVID-19 untuk dibentang dan diluluskan Parlimen.
Ia merupakan langkah tambahan selepas langkah fiskal awal termasuk beberapa pakej rangsangan ekonomi seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
“Krisis COVID-19 telah mewujudkan keperluan untuk menubuhkan kumpulan Wang COVID-19 yang membenarkan terimaan daripada pinjaman dipindahkan kepada kumpulan Wang untuk digunakan bagi inisiatif di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi.
“Justeru, Kumpulan Wang tersebut dirangka untuk pelaksanaan yang cepat, pemantauan yang efektif dan pelaporan pakej yang tepat yang seterusnya menambah baik kebertanggungjawapan dan ketelusan pengurusan kewangan awam,” kata laporan itu.