Kuala Lumpur – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS) hari ini menggesa semua pengurusan pasar raya agar memberi kelonggaran dan pengurangan sewa premis kepada penyewa dan peniaga.
Berikutan rintihan para peniaga dan penyewa premis yang memaklumkan pihak pengurusan mendesak bayaran sewa penuh walaupun sedar perniagaan tidak dapat dijalankan bermula pada bulan mac disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP). Lebih memburukkan lagi, bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang berhadapan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes Covid-19 bermula oktober lepas.
Menurut Presiden, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, penyewa dan peniaga menghadapi impak kerugian hampir 100% namun tiada sebarang perbincangan mahupun pertimbangan dalam pembayaran sewa bulanan.
“Saya menggesa pihak pengurusan mall bertimbang rasa dan ada budi bicara kepada penyewa, mereka ini ditekan membuat bayaran sewa penuh dalam musim covid dan sehingga ada lot yang telah disita kerana gagal menjelaskan sewa.
“Walapun semasa PKP tiada seekor lalat pun yang masuk mall, tetapi pihak pengurursan ibarat kuku besi tidak sedikitpun memberi ruang dan terus menekan peniaga membayar sewa penuh. Jika tidak membayar sewa, peniaga ini akan dikenakan tindakan undang-undang” katanya dalam satu sidang media.

Menurutnya lagi, IKHLAS memohon perkara ini dipandang serius dan mendapat perhatian dari Perdana Menteri .
Melalui belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, pihak kerajaan menyasarkan agar diskaun sewa premis diberi pemotongan sehinga 30% bagi merancakkan ekonomi perniagaan serta membantu peningkatan pendapatan para peniaga.
IKHLAS pada isnin hadapan berhasrat bertemu Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum memohon campur tangan pihak kerajaan agar sewa premis dapat dikecualikan bagi tempoh PKP lalu dan diberi pemotongan sehingga satu tempoh yang dinyatakan.
Ia bertujuan membantu kira-kira hampir 300,000 peniaga dan penyewa premis yang terkesan berikutan aktiviti perniagaan yang terjejas sepanjang penularan pandemik Covid-19.