Terkini

Malaysia antara negara terawal di dunia gunakan RTK-Ag

KUALA LUMPUR – Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara terawal di dunia  yang menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) untuk melakukan saringan COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggunakannya sejak Jun tahun lepas dan kit berkenaan dinilai oleh  Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (NPHL) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi memastikan ia mematuhi standard yang diperlukan dan kemudiannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa  Peranti Perubatan (MDA) untuk kegunaan lebih meluas dalam komuniti. 

Muhyiddin berkata demikian sebagai respons kepada surat terbuka kepada beliau yang dihantar oleh sekumpulan pakar kesihatan pada 7 Jan lepas dan kumpulan itu antaranya menggesa supaya saringan ditingkatkan dengan menggunakan RTK-Ag dan bukannya kaedah Tindak Balas Rantai Polimer (PCR) untuk membantu mengurangkan penularan COVID-19.

“Sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), RTK-Ag telah digunakan untuk memastikan keputusan saringan apabila penularan COVID-19 didapati tinggi dalam kawasan penduduk tertentu. Saringan RTK-Ag digunakan sebagai ujian penentu di Sabah sejak 5 Okt tahun lepas.

KKM telah menyediakan lima pusat ujian RTK-Ag di Sabah bagi meningkatkan keupayaan ujian RTK-Ag. Sehingga 14 Jan lepas, sejumlah 365,740 saringan RTK-Ag telah dilaksanakan dengan kadar positif 3.75 peratus yang membantu KKM dalam mengurus penularan wabak itu di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Beliau menambah KKM juga berupaya mengenal pasti kes positif lebih awal, mengasingkan dan merawat mereka serta mempercepatkan aktiviti pengesanan kontak bagi mengurangkan penularan penyakit itu di dalam komuniti. 

Sementara itu, bagi mengurus penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing, beliau berkata KKM bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk melaksanakan saringan secara besar-besaran menggunakan kaedah RTK-Ag yang membolehkan pengesanan awal kes positif COVID-19.  

“Setakat 13 Jan, sebanyak 146,083 saringan RTK-Ag sudah dilaksanakan untuk pekerja asing di bawah Program Saringan Perkeso dengan kadar positif 2.0 peratus dan pengasingan seterusnya,” katanya.

Berkenaan makmal diagnostik, Muhyiddin berkata keupayaannya telah ditingkatkan kepada purata 60,000 ujian sehari dengan penyertaan makmal swasta di bawah pemantauan ketat oleh KKM, menggunakan kedua-dua kaedah, iaitu PCR dan RTK-Ag. 

Makmal berkenaan juga secara rutin menjalankan ujian untuk mengenal pasti varian baharu strain COVID-19 di Malaysia lantas membolehkan KKM menambah baik lagi pengurusan strateginya.  

“KKM juga sedang menyelidik kaedah saringan alternatif sebagai contoh ujian air liur dan kaedah-kaedah baharu yang ada di dalam pasaran,” katanya.  

Perdana menteri memberi jaminan keputusan untuk  memindahkan sementara pesakit COVID-19 ke hospital swasta juga akan mengurangkan tekanan kerja petugas di hospital kerajaan yang menggalas bebanan tugas yang berat. 

Buat permulaan, Menteri Kewangan, Ketua Pengarah Kesihatan dan lain-lain pegawai kanan kerajaan telah mengadakan satu perbincangan dengan pengurusan kanan hospital swasta yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memulakan inisiatif pemindahan pesakit itu.

“Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan lain-lain hospital swasta menerusi panggilan video dan disertai hampir 400 peserta untuk memulakan inisiatif itu. Saya rasa terharu dengan sokongan segera yang diterima daripada hospital swasta,” katanya. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: