Bisnes

Pendigitalan bantu Christy Ng tembusi pasaran luar negara

KUALA LUMPUR – Mula menjual kasut rekaan sendiri di pasar lambak, Christina Ng, Ketua Pegawai Eksekutif Christy Ng Sdn Bhd, berjaya mencapai impian menembusi pasaran antarabangsa menerusi pendigitalan operasi selain turut memasuki platform e-dagang. 

Permulaan Christina dalam dunia perniagaan bermula dengan menjual bunga jerami buatan ibunya di stesen LRT Kelana Jaya di Petaling Jaya, Selangor pada usia sembilan tahun.

Christina meneruskan langkah dengan menjual pula aiskrim ketika berumur 15 tahun untuk mendapatkan wang tambahan. 

Hari ini, Christina boleh tersenyum lebar kerana produknya telah menjadi antara jenama yang paling diminati di negara ini.

Syarikatnya menawarkan pelbagai barangan khusus untuk wanita dengan produk utama ialah kasut dan beg di beberapa lokasi strategik di Lembah Klang.

Jenama ini juga melayani pelanggan menerusi laman web dan platform e-dagang yang berjaya menarik pembeli dari lebih 70 negara. 

Kisah beliau dipaparkan dalam artikel Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang disiarkan di laman webnya.

Namun, seperti kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain, Christy Ng turut terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau kemudian memohon Geran Automasi Pintar (SAG) yang diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) oleh kerajaan dan berjaya dipilih sebagai antara penerimanya.

SAG merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu PKS dan syarikat pertengahan kategori perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan dan meringankan beban kewangan akibat pandemik. 

Inisiatif ini dilaksanakan oleh MDEC dan memberi peluang kepada perniagaan yang selama ini beroperasi secara tradisional serta tidak menggunakan pendekatan teknologi untuk beralih ke arah pendigitalan dan seterusnya menjadikan aspek itu sebagai kaedah baharu dalam operasi masing-masing. 

Christina berkata pengumuman dana PENJANA oleh kerajaan merupakan tindakan tepat pada masanya kerana membantu untuk menyokong pelbagai perniagaan berinovasi, automasi dan seterusnya ‘memasuki’ ekonomi digital yang semakin berkembang apabila berlaku peningkatan tabiat membeli-belah secara dalam talian oleh masyarakat. 

“Sokongan yang diberikan kerajaan sangat diperlukan oleh perniagaan. Melalui inisiatif SAG, kami berjaya beralih kepada sistem yang lebih bersepadu sekali gus membantu mengurangkan waktu bekerja apabila berlaku peningkatan kecekapan dalam sistem pengurusan dan pemprosesan pesanan.

“Oleh itu, syarikat berupaya memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya. 

Sementara itu, MDEC berkata selain Christy Ng, sebanyak 65 PKS dan usahawan mikro lain kategori sama turut menerima geran padanan SAG.

“PKS adalah tulang belakang ekonomi kita. Ekonomi Malaysia terdiri daripada hampir 99 peratus PKS yang menyumbang sebanyak 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Saya gembira apabila mendapati Christy Ng dan PKS lain menerima manfaat daripada geran padanan ini yang membolehkan mereka menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kami berharap dapat terus menyokong syarikat-syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka dengan memberi bantuan seperti platform dan bantuan kewangan yang diperlukan untuk membantu proses automasi dan pengembangan perniagaan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri. 

Pengerusi MDEC Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata bagi mencapai visi MDEC termasuk mengutamakan rakyat, agensi ini terus menjadi landasan untuk rakyat Malaysia berkembang maju pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan seterusnya menyokong usaha merealisasikan visi Malaysia 5.0 yang membawa kemakmuran kepada semua golongan rakyat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: