Terkini

Vaksin Pfizer-BioNTech tiba 21 Feb

PETALING JAYA – Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19 buatan Pfizer-BioNTech pada 21 Feb, diikuti dengan pelaksanaan program imunisasi kebangsaan pada 26 Feb.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan buku panduan program imunisasi kebangsaan berkata program itu mengandungi tiga fasa.

“Fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula 26 Feb sehingga Apr 2021. Fasa kedua pula akan bermula pada April sehingga Ogos 2021 melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala fasa ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari Mei 2021 sehingga Feb 2022,” katanya.

Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin pada fasa pertama.

Perdana menteri berkata program imunisasi menyeluruh ini dilakukan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam komuniti, supaya dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dan akhirnya menamatkan wabak itu.

“Vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri tetapi juga yang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti,” katanya.

Perdana menteri berkata impak positif akan mula dirasai apabila semua orang dilindungi, membolehkan pelbagai sektor ekonomi dibuka semula dan kegiatan kehidupan biasa seperti ziarah-menziarahi dan bersukan, dengan mengamalkan norma baharu.

“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19.

“Janganlah kita ambil mudah tentang perkara ini. Apabila tiba masanya, jangan berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam kenyataan di Twitter berkata, sebuah pesawat MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) akan membawa 312,390 dos vaksin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Di situ, ia akan disusun dan dihantar ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin di seluruh negara. Polis dan tentera akan digunakan untuk mengawal dan mendapatkan vaksin dari awal hingga selesai,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: