Politik

Mahkamah tolak permohonan lucut hak RM677,872 dari Umno Johor

Pihak pendakwaan hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk melucut hak wang berjumlah RM677,872.55, yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Badan Perhubungan Umno Johor, yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwa raya selaku pemohon, terhadap Badan Perhubungan Umno Johor sebagai responden.

Dalam penghakiman, Muhammad Jamil berkata mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram, dan Badan Perhubungan Umno Johor telah mengemukakan keterangan untuk membuktikan bahawa wang yang disita diterima daripada sumber-sumber lain.

“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah dapati pemohon gagal membuktikan bahawa wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata hakim itu.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan Umno Johor.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap Umno Johor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata agensi itu telah memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta, yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: