Terkini

Jenayah ekonomi halang pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR – Satu strategi dan pelan tindakan nasional pelbagai disiplin dan menyeluruh perlu dilakukan bagi menangani jenayah ekonomi bagi membolehkan pemulihan ekonomi pasca Covid-19, sekali gus menarik pelaburan terus langsung (FDI) ke negara ini.

Bekas Ketua Polis Negeri Sarawak, Datuk Dr Yusoff Nook berkata, skandal kewangan dan pasaran gelap yang tidak terkawal serta penyakit rasuah yang berlaku di Malaysia adalah jenayah ekonomi yang boleh memusnahkan setiap segmen dalam masyarakat kita.

“Kerajaan Malaysia terus kerugian berbilion ringgit setiap tahun kerana jenayah tersebut manakala struktur masyarakat diancam oleh elemen jenayah dan budaya kleptokrasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Komen Yusoff itu berikutan pendedahan terbaru berkenaan skandal kewangan skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta laporan-laporan mengenai aktiviti penyeludupan yang berleluasa melibatkan daging, rokok dan barangan keperluan harian.

Beliau berkata, selain daripada kehilangan pendapatan, jenayah ekonomi juga menghalang pelabur asing daripada melabur di Malaysia.

“Kebimbangan berkaitan harta intelek, keselamatan individu dan daya maju pasaran dalam persekitaran di mana undang-undang dianggap tidak ada, akan menyebabkan bakal pelabur berfikir dua kali sebelum mereka memindahkan kemudahan atau operasi perniagaan ke negara kita,” katanya.

Beliau turut meramalkan bahawa sekiranya mengambil kira kerugian semasa dan yang bakal dialami secara seluruhannya, kos disebabkan jenayah ekonomi boleh mencapai tahap trilion ringgit dalam masa 10 tahun akan datang sekiranya tidak dikawal daripada sekarang.

Menurut Yusoff, sekarang adalah masa yang sesuai untuk membentuk strategi dan pelan tindakan nasional menentang jenayah ekonomi apabila Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan bermula dan berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bandar-bandar utama.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi. Kita tidak mampu membiarkan jenayah ekonomi menyebabkan usaha kita untuk memperbaiki kehidupan dan perniagaan yang terjejas oleh pandemik ini, tergelincir daripada landasannya.

“Strategi dan pelan tindakan nasional bagi menentang jenayah ekonomi ini mestilah meliputi semua dan dibangunkan dengan input dan saranan daripada cawangan penguatkuasaan yang relevan, agensi awam dan sektor swasta. Inisiatif ini juga mesti diterajui dan disokong oleh peringkat tertinggi dalam Kerajaan Malaysia,” katanya.

Yusoff berkata, tindakan terbaru kerajaan untuk membanteras penyeludupan rokok seludup dalam Bajet 2021 dengan mengukuhkan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) dengan kemasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan adalah contoh terbaik pendekatan pelbagai disiplin untuk melawan jenayah ekonomi.

“Penyeludukan rokok adalah jenayah ekonomi yang besar yang melibatkan kos RM5 bilion dari segi pendapatan cukai yang tidak dibayar setiap tahun. Kadar yang tinggi bagi rokok seludup ini telah berterusan sejak 2016 dan kerajaan sebelum ini telah cuba untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi gagal.

“Saya berharap lebih banyak pelan dan tindakan yang lebih baik dan menyeluruh dilakukan oleh MATF bagi menangani masalah ini memandangkan kita sudah memasuki akhir suku keempat 2021,” katanya.

Beliau berkata, MATF mesti memainkan peranan yang lebih besar dalam menangani jenayah ekonomi, selain pasukan petugas merentasi agensi seperti MATF juga boleh menyumbang kepada strategi dan pelan tindakan nasional bagi melawan jenayah ekonomi dengan menyarankan perubahan pada peringkat dasar yang boleh memberi kesan yang lebih menyeluruh.

Sebagai contoh, katanya, MATF boleh mencadangkan dasar-dasar yang boleh mengurangkan jurang perbezaan harga yang tinggi antara rokok seludup dan rokok sah yang menjadi punca menggalakkan penyeludup untuk melakukan jenayah ekonomi ini.

“MATF juga boleh menyarankan penalti lebih berat dan mungkin juga boleh mencadangkan sistem ganjaran kepada pegawai penguatkuasaan yang boleh menambah baik keberkesanan dan kecekapan,” tambahnya.





Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: