Terkini

Individu dikompaun RM10,000 boleh buat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah

ALOR SETAR -Individu yang dikenakan tindakan kompaun sehingga RM10,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) bagi pencegahan dan kawalan Covid-19 boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mengurangkan jumlah yang perlu dibayar.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pegawai PKD pula akan menggunakan budi bicara mereka bagi menentukan jumlah yang harus dibayar pesalah.

“Rayuan boleh dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah, bukan kepada polis sebab ini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Jadi masa nak bayar kompaun buatlah rayuan, saya percaya pegawai kesihatan daerah pasti akan memberikan pengurangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penguatkuasaan kompaun sehingga RM10,000 terhadap mereka yang melanggar SOP itu susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai semalam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam menjelaskan pihak polis hanya mengeluarkan kompaun maksimum itu bagi kesalahan berulang dan pelanggaran SOP yang melampau.

Ismail Sabri berkata di dalam notis saman yang dikeluarkan, pihak polis perlu meletakkan jumlah kompaun maksimum itu mengikut kesalahan yang dilakukan seperti yang telah ditetapkan dalam ordinan terbabit dan tidak boleh mengubahnya.

“Sebagai contoh jika kesalahan mencuri di bawah Kanun Keseksaan, tuduhan mencuri ‘selipar Jepun’ di masjid, tetapi tuduhan itu akan dibuat berdasarkan seksyen dalam Kanun Keseksaan dan hukuman yang ditetapkan berdasarkan seksyen di dalamnya.

“Jadi walaupun kesalahan mencuri itu dilihat kecil tetapi ia tetap didakwa dan dihukum di bawah Kanun Keseksaan kerana mencuri dan terpulang kepada mahkamah menentukan hukuman dan pesalah boleh merayu,” katanya.

Bagi pelanggaran SOP yang melampau pula, Ismail Sabri mengambil contoh tindakan pengusaha kelab malam yang berdegil menjalankan operasi walaupun sebenarnya kerajaan tidak pernah membenarkan sektor itu dibuka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan.

“Tauke-tauke kelab malam terus membuka kelab malam secara haram. Jadi keputusan tegas perlu diambil kepada mereka ini. Jadi mungkin merekalah (pengunjung) yang akan dikenakan kompaun RM10,000 dan pemilik kelab malam pula sekarang boleh dikenakan kompaun sebanyak RM50,000,” katanya.

Terdahulu Ismail Sabri menghadiri Program Cakna Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan melawat bekas anggota tentera, Md Salleh Ahamad, 70, yang uzur di rumahnya di Jalan Masjid Seberang Pantai Johor.

-BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: